Teliti mekanisme komprehensif pantau pelancong asing

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu melaksanakan tindakan yang tuntas dan menyeluruh agar negara ini terutama bandar-bandar besar tidak dipenuhi dengan pendatang asing tanpa izin (PATI)  versi baharu, iaitu pelancong asing tanpa izin yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

- Advertisement -

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata demikian apabila Tourism Malaysia telah menyasarkan lebih lima juta pengunjung dari China memasuki Malaysia bagi tahun ini. 

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar dalam satu kenyataan pada 1 Februari lalu menyatakan, Tourism Malaysia giat menyusun strategi termasuk menyasarkan untuk menambah frekuensi penerbangan dari China dan menggalakkan syarikat penerbangan baharu di negara itu untuk mempertimbang Malaysia sebagai destinasi pilihan.

“Kita menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas (dari China) untuk melaksanakan inisiatif tersebut dan sebagai contoh, kita berusaha untuk menambah frekuensi penerbangan mungkin dari dua kali seminggu kepada sasaran empat penerbangan seminggu,” katanya ketika hadir di Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Loong Air dari Hangzhou, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2.

Shahir berkata, hal itu berdasarkan inisiatif pengecualian visa 30 hari diperkenalkan pada 1 Disember 2023 untuk pelancong China dan India yang berkunjung ke negara ini.

“Tourism Malaysia giat menyusun strategi dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong dari China sekali gus berhasrat mencapai sasaran lebih lima juta pengunjung dari negara itu bagi tahun ini.

“Dari sudut ekonomi, ia tentunya memberikan sumber pendapatan kepada negara,” ujarnya.

 Tambah beliau lagi, angka 5 juta merupakan jumlah yang besar.

Katanya, berdasarkan bancian yang dilakukan pada tahun 2020, penduduk di Kuala Lumpur telah pun mencecah lebih kurang 2 juta orang.

“Bayangkan jumlah pelancong tanpa visa yang akan datang ke negara kita lebih 2 kali ganda penduduk di Kuala Lumpur.

“Keadaan di mana pihak menyalahgunakan pengecualian visa untuk bekerja secara haram, besar kemungkinan akan berlaku.

“Mungkin ada yang akan berada di sini melebihi 30 hari,” katanya kepada HarakahDaily. 

Dalam hal ini, beliau turut berharap pihak Kementerian Pelancongan dapat memberikan data dan statistik anggaran pendapatan yang dijana, berbanding perbelanjaan mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan.

Oleh sebab itu, ujarnya pihak kerajaan digesa untuk meningkatkan pemantauan.

Tambah beliau lagi, pihak berwajib perlu meneliti mekanisme yang komprehensif bagi memantau masuk-keluar pelancong asing. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -