Batalkan Konsert Ed Sheeran, hormati pandangan agamawan

Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Sikap membakul sampahkan pandangan mufti menunjukkan PH-BN sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air tercinta ini. Itulah hakikatnya,” kata Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian mengulas berhubung nasihat yang dikemukan oleh mufti dan ulama mengenai konsert Ed Sheeran yang akan diadakan pada penghujung bulan ini.

Mengulas lanjut kata beliau, apa yang sangat dikesali, kerajaan Madani langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).

“Pada 24 Februari 2024 ini akan berlangsung sebuah konsert antarabangsa, Ed Sheeran yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Tiket-tiket sedang dijual pada masa kini dengan harga serendah RM198 sehingga RM1,388. Apabila tiket sudah dijual bermakna kebenaran penganjuran sudah pun diberikan,” katanya.

Kata Mohd Zarima, pandangan yang dikemukan oleh mufti berhubung penganjuran konsert berkenaan bersebab.

“Mengapa mufti sangat risau dengan penganjuran konsert ini? Sudah tentu ada sebabnya.

“Ed Sheeran merupakan seorang individu yang jelas menyokong budaya luar tabie iaitu LGBT, malah pernah membalutkan dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok LGBTQ sewaktu mengadakan konsert sebelum ini.

“Cukup bahaya dan bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Pahang sekali gus menyokong sepenuhnya pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa agar kerajaan mengambil kira secara serius pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert diadakan di negara ini.

“Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital digesa untuk menghormati fatwa dan pandangan para mufti yang sudah pasti memberikan pandangan hukum-hakam berkaitan syarak demi kebaikan dan kemaslahatan umat Islam.

“Mufti Pulau Pinang juga turut menyeru agar umat Islam memulaukan serta membantah sekeras-kerasnya sebarang konsert yang menyanggahi syariat Islam dan mengingatkan umat Islam ditegah untuk bekerjasama dalam perkara yang membawa dosa dan maksiat seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya.

Sebelum ini, kata beliau, Dewan Pemuda PAS Pahang turut menentang keras penganjuran konsert band Coldplay yang terkenal dengan pembawakan LGBTQ.

Namun, katanya, mengapa kerajaan Madani seolah-olah tidak serik dengan masih membiarkan artis luar yang terpalit dengan budaya songsang datang ke Malaysia.

“Ibarat bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian PMX yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay, malah lebih mengecewakan, PMX sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia.

“Adakah kerajaan sedang cuba untuk menormalisasikan sesuatu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zarimi turut berterima kasih kepada Mufti Pulau Pinang kerana tegas memberikan pandangan untuk kebaikan ummah.

Beliau dalam masa sama berharap kerajaan dan pihak yang terlibat tidak bersikap defensif untuk mempertahankan penganjuran konsert itu.

“Batalkan sahaja! Sila hormati sensitiviti umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Dewan Pemuda PAS Pahang turut menggesa kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -