Kes Najib: Lembaga Pengampunan patut beri alasan

Datuk Seri Najib Tun Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan yang memutuskan pengurangan 50 peratus hukuman dan denda ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menerima kritikan daripada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

- Advertisement -

Menurutnya, sebelum keputusan tersebut diumumkan menerusi media, tiada anggota lembaga itu atau Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa Najib akan dibebaskan.

Beliau membandingkan kes pengampunan Anwar di mana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa itu, setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), membuat kenyataan bahawa Baginda bersetuju untuk mengampunkan.

Selepas itu jelasnya terhadap prosedur tersebut, YDPA menerima menghadap Anwar, seorang banduan pada masa itu sebelum lembaga itu bersidang dan memaklumkan bahawa beliau akan diampun atas alasan ketidakadilan telah dilakukan ke atasnya.

tunhamid
Tun Abdul Hamid Mohamad

Tun Hamid turut mempertikaikan pengampunan Najib itu kerana kenyataan media atau anggota lembaga atau jurucakap Istana Negara langsung tidak menyatakan alasan keputusan itu dibuat.

“Tidak dapat dinafikan bahawa, hari ini, setiap tribunal yang membuat sesuatu keputusan dalam menjalankan tugas keperlembagaan diharap akan memberi alasan kepada keputusan-keputusan yang dibuatnya.

“Ini akan menunjukkan ketelusannya,bahawa alasan mengapa ia membuat keputusan itu adalah patuh undang-undang dan reasonable, atau sebaliknya. Ia akan menjadi ikutan di masa hadapan dan menambah integriti lembaga itu,” ujarnya menyatakan kekecewaan pihak yang menunggu untuk mendengar alasan-alasan keputusan itu dibuat.

Kemukanya, bayangkan keputusan mahkamah tertinggi yang dibuat setelah mengkaji ribuan muka surat dokumen, setelah mendengar hujah berhari-hari, disokong oleh ratusan muka surat alasan penghakiman, diubah tanpa memberi sebarang alasan!

“Apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat itu? Memanglah YDPA tidak dikehendaki menurut Perdana Menteri (bukan ahli lembaga) atau Menteri Wilayah Persekutuan (ahli lembaga), tetapi Baginda tidak boleh membuat keputusan berdasarkan budibicaranya sendiri seperti pelantikan Perdana Menteri.

“Keputusan itu adalah keputusan lembaga. Lembaga itu dikehendaki bermesyuarat, menimbang alasan-alasan permohonan, rekod perbicaraan, alasan penghakiman mahkamah, pandangan Hakim yang mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan dan pandangan Peguam Negara,” ujarnya

Tegas beliau, jika lembaga itu membuat keputusan selepas membincang semua pandangan itu, tentu sekali ada alasan baginya membuat keputusan itu, bahkan perkataan budibicara itu sendiri menghendaki adanya budi dan bicara dalam membuat keputusan itu.

“Juga, dikatakan ‘An absolute discretion is a contradiction in terms’. Kita khuatir keputusan tanpa alasan itu akan dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan fakta-fakta bahawa lembaga itu bersidang tiga hari sebelum tamat tempoh perkhidmatan YDPA ke-16.

“Yang menimbulkan pertanyaan adakah ia dilakukan kerana takut YDPA ke-17 tidak akan bersimpati dengan permohonan itu? Ini ditambah dengan faktor senegeri YDPA dan Dato’ Sri Najib,” hujah beliau.

Menurutnya, boleh dihujahkan bahawa YDPA ke-16 hendak menyelesaikan permohonan itu kerana ia difailkan semasa pemerintahan Baginda, namun jika itu hujahnya, maka hujah sebaliknya ialah adakah semua permohonan yang dibuat semasa pemerintahan Baginda ikut diselesaikan kesemuanya.

Kesali Tun Hamid, semua itu menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan, walau ia bukan sebab sebenar sekalipun dan semua itu tidak boleh menjadi alasan untuk mencabar keputusan lembaga itu.

“Kita ingin melihat apa lembaga itu yang akan dipengerusikan oleh YDPA ke-17 akan lakukan dalam kes-kes lain terhadap Najib dan lain-lain pemimpin politik yang sedang menghadapi pertuduhan kiranya mereka disabitkan dan dihukum dan apa alasannya pula, atau tanpa alasan juga.

“Soalan juga berbangkit, adakah lembaga itu akan juga memberi pengurangan hukuman terhadap pegawai-pegawai awam dan swasta yang disabitkan atas kesalahan yang serupa? Jika ya atau tidak pun, atas alasan apa atau tanpa alasan juga?” soalnya.

Tun Hamid turut memetik kembali rencana ditulisnya pada 7 September 2022 berkenaan dasar pengampunan penuh diberikan dan parti pemimpin berkenaan menang pilihan raya.

Menurut beliau ketika itu, pengampunan sedemikian akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia setelah segala proses siasatan dan pendakwaan dilakukan.

“SPRM menghabiskan bertahun-tahun menyiasat; Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen.

“(Juga) mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman, satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion.

“Tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi? Bayangkanlah sendiri,” ujarnya memetik tulisan sendiri.

Katanya, beliau juga ingin mengelak pemimpin-pemimpin yang korup menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam.

Tegasnya, ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula.

“Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan. Adakah apa yang saya katakan itu masih terpakai dalam kes ini?” persoalnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -