Ambiga pun patut diam, kata Ketua Penerangan PAS

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Tidak akan bantah di jalanan sebagaimana BERSIH dahulu

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan juga sepatutnya mendiamkan diri dari melarang pihak lain mengeluarkan kenyataan berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan atas kes bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membidas kata-kata tersebut terhadap Ambiga ekoran peguam dan aktivis tersebut menegah Pakatan Harapan (PH) untuk berbuat demikian kerana tidak dapat mempertahankan perkara sepatutnya dipertahankan.

- Advertisement -

“Saya rasa anda pun baik senyap. Anda cuma membantah secara minimum agar nampak ada sedikit suara, sampai masanya anda dan kawan-kawan akan sokong PH juga.

“Buktinya, anda dan kawan-kawan tidak akan bantah di jalanan sebagaimana anda anjurkan himpunan BERSIH dulu. Betul tak Datuk Ambiga?” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ambiga berkata, PH hanya perlu mendiamkan diri dan jika bersuara ia akan mengganggu untuk mempertahankan perkara yang tidak dapat untuk dipertahankan.

“PH tolonglah, jangan keluarkan sebarang kenyataan lagi. Senyap sahaja. Jangan sesekali bercakap tentang perjuangan menentang rasuah lagi. Kalian telah membuang masa, tenaga dan niat baik kami,” katanya menerusi hantaran di laman sosial, X, semalam

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengurangan hukuman dan denda.

Keputusan tersebut adalah dari persidangan pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -