Jaga kebajikan guru SRA, KAFA

- Advertisement -

HULU LANGAT: Keperluan dan kebajikan guru-guru agama dan moral, serta kemudahan dan persekitaran terutamanya Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) wajib dijaga pihak yang berwajib bagi membina masyarakat yang bertamadun.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, bantuan dan bimbingan daripada guru-guru agama atau pendidikan moral bagi anak-anak bukan Islam adalah sangat diperlukan dalam memberi didikan ilmu agama, dan membentuk akhlak generasi.

“Saya berharap pihak berwajib, seperti JAIS, dapat mengambil peranan dalam isu ini, sebagai usaha menjaga kebajikan guru agar SRA dan KAFA seperti ini tidak kehilangan guru-guru yang hebat, berkualiti dan berwibawa dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama.

“Kita amat memahami dengan keadaan kos sara hidup kini yang kian tinggi, pastilah para guru ini terpaksa mencari sumber pendapatan lain, atau bertukar pekerjaan lain bilamana gaji, kemudahan yang disediakan untuk guru-guru SRA dan KAFA ini tidak dapat membantu meringankan beban tanggungan masing-masing,” tambah beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tambahnya lagi, kualiti prasarana juga perlu dikawal selia, agar anak-anak yang belajar di sini tetap semangat untuk hadir ke sekolah, demi menimba ilmu agama sebagai bekalan kehidupan mereka, justeru pasti pengaruhi emosi dan motivasi.

“Semoga isu-isu terkait SRA dan KAFA mendapat tempat pihak atasan untuk diusahakan peningkatannya demi memastikan usaha melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertamadun dapat direalisasikan,” harap Ustaz Nushi di media sosial miliknya hari ini.

Beliau mengambil peluang kunjungi SRA Pekan Semenyih antara yang tertua di sini bagi menyampaikan sedikit sumbangan Khatam Al-Quran dan Hari Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023/2024 baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -