Ahli PAS sebagai duta dakwah dan ukhuwah

- Advertisement -

HULU LANGAT: Usrah adalah satu aktiviti  dan elemen penting yang membina kekuatan dalaman setiap ahli PAS, kata Ustaz Nushi Mahfodz.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu berkata, ini kerana melalui usrah pengukuhan fikrah dan jalinan ukhuwwah diperkemas, memberi sentuhan terpenting kepada keluarga besar PAS di setiap peringkat.

Menurut beliau, usrah juga medan memperingat dasar perjuangan ahli PAS untuk mendaulatkan Islam, terus berbakti dan berkorban demi mencari reda Tuhan, bukan untuk habuan berbentuk peribadi apatah lagi duniawi.

ADUN Semenyih itu berkata, tarbiyah menjadi pemangkin untuk memastikan jentera di semua peringkat sentiasa istiqamah dan terus berjuang, mengekalkan keteguhan dalam menghadapi dinamika politik dan dakwah semasa.

Berbekalkan kefahaman yang ditanamkan ini, kata beliau, PAS mudah-mudahan tidak terkesan dengan ribut politik dan pesta lompat yang sedang melanda medan siyasi negara.

Selain itu, katanya, peluang seperti ini dikongsikan juga perkembangan dan pengukuhan gerak kerja terkini yang sedang berlangsung di peringkat Pusat Khidmat Dun Semenyih dan PAS Kawasan Hulu Langat.

“Penting untuk kita sebagai satu pasukan mengembleng tenaga serta melipatgandakan usaha dalam memenuhi harapan pengundi dalam memberikan khidmat untuk rakyat tanpa mengira batas kepartian, bangsa mahu pun agama,” katanya.

Seterusnya kata beliau, jentera di cawangan mesti sentiasa dekat dengan masyarakat, menyantuni, mendengar, dan menjadi mata telinga parti dan wakil rakyat memastikan suara rakyat sampai kepada Pusat Khidmat.

Katanya, selain itu, harus difahami, tanggungjawab ahli PAS bukan hanya dalam konteks politik, tetapi sebagai duta dakwah dan ukhuwah.

Beliau mengingatkan semua ahli PAS supaya  sentiasa menjaga niat dan aqidah perjuangan serta kerjasama dan kesepaduan menjadi kunci utama dalam memastikan PAS sentiasa di hadapan dari sudut menyantuni dan berdakwah kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

- Advertisement -