Abdullah Al Barghuthi: Hadapi hukuman penjara paling lama

- Advertisement -

Dalam sejarah manusia

- Advertisement -

Dia perlu mati dan dihidupkan kembali sebanyak 67 kali untuk menghabiskan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh mahkamah Israel.

Pada 2003, mahkamah memutuskan dia bersalah dan dijatuhI hukuman penjara selama-lamanya sebanyak 67 kali.

Itulah yang terpaksa dihadapi oleh aktivis HAMAS, Abdullah Al Barghuthi.

Nama penuhnya Abdullah Ghalib Abdullah Al Jamal Al Barghuthi. Seperti warga Palestin yang lain, ibu bapanya termasuk antara mereka yang terpaksa berpindah randah disebabkan penjajahan rejim Zionis Yahudi.

Dilahirkan di Kuwait pada 1972. Memulakan pendidikan awal di negara Teluk itu sebelum berpindah ke Jordan sebaik bermulanya Perang Iraq-Amerika 1990.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, beliau bermusafir ke Korea Selatan untuk mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Selama 3 tahun di sana, beliau berjaya menguasai bahasa Korea dengan baik. Di samping itu beliau juga menekuni ilmu mengenai bahan letupan dan teknik menggodam sistem komputer dan peranti komunikasi.

Pulang ke Jordan dan bekerja sebagai jurutera elektrik dan pemprogram computer.

Beberapa kali beliau cuba masuk ke Palestin namun tidak berjaya. Sehinggalah pada 1998, beliau mendapat tawaran pekerjaan dari sebuah syarikat di Palestin yang membolehkannya kembali ke tanah air tercinta.

Sebaik berada di bumi Palestin, beliau terus menjalin hubungan dengan HAMAS dan menawarkan khidmatnya untuk perjuangan memerdekakan bumi Palestin.

Ketika kebangkitan Intifadhah kedua tahun 2000, Abdullah Al Barghuthi berperanan besar dalam menghasilkan bahan letupan untuk pejuang-pejuang menghadapi serangan Yahudi.

Selama ini pemuda-pemuda Palestin hanya bersenjatakan lastik dan lontaran batu untuk berhadapan dengan tentera Israel yang lengkap dengan senjata api di samping senjata-senjata berat.

Abdullah berpandangan, tindakannya menghasilkan bahan letupan bukan satu aktiviti keganasan. Sebaliknya ia adalah untuk anak-anak watannya mempertahankan diri dari keganasan penjajah.

Sampai bila umat Islam Palestin hanya mahu melihat sahaja warga mereka ditangkap dan dibunuh tanpa berbuat apa-apa. Sekurang-kurangnya dengan menghasilkan bahan letupan berkenaan, rejim Zionist tahu bahwa rakyat Palestin bukan bangsa yang hanya tunduk dan membiarkan sahaja mereka dibuli.

Penjajah Israel menyedari bahayanya anak muda ini lalu menyenaraikan namanya dalam senarai mereka yang dikehendaki oleh rejim.

Pada tahun 2001, beliau ditangkap oleh pihak berkuasa Palestin di bawah kerajaan Mahmud Abas selama sebulan kerana disyaki terbabit dalam serangan Restoren Sbarro Tel Aviv pada 9/8/2001. Serangan berkenaan menyebabkan 15 pendatang haram Yahudi terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Selepas dibebaskan dari tahanan, beliau semakin rancak mengatur operasi ke atas kedudukan tentera zionis dalam apa yang dinamakan sebagai amaliyah istisyhadiyah.

Di dalam Al Qassam, beliau adalah orang yang menggantikan Yahya Ayyash yang dibunuh pada 1994. Yahya dianggap pelopor kepada perjuangan Palestin menggunakan bahan letupan buatan sendiri.

Lebih istimewa, Abdullah Al Barghuthi mampu mencipta bahan letupan dari bahan mentah yang di dapati di sekeliling mereka termasuk ubi kentang.

Israel merekodkan Abdullah Al Barghuthi sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap kematian 66 orang Yahudi dan mencederakan 500 yang lain.

Pada Mac 2003, ketika menghantar anak perempuannya untuk rawatan di bandar Al Birah dekat Ramallah, beliau ditangkap oleh pihak berkuasa rejim Israel.

Sebagai orang yang paling dikehendaki pada ketika itu, Abdullah Al Barghuthi disoal siasat selama 3 bulan. Beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dengan beberapa pertuduhan.

Suatu yang sangat luar biasa dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara di dunia, mahkamah memutuskan hukuman 67 kali penjara selama-lamanya.

Untuk menyelesaikan hukuman itu, Abdullah perlu memiliki 67 nyawa. Mati, hidup kembali. Kemudian mati lagi dan hidup semula sebanyak 67 kali.

Selain dikurung dalam tempoh yang lama, beliau turut diseksa dan ditekan fizikal dan mental. Beliau pernah dikurung bersama orang gila.

Pernah dikurung secara bersendirian selama 10 tahun. Hinggalah setelah beliau melakukan mogok lapar, baharulah dipindahkan kembali ke penjara biasa.

Selama lebih 20 tahun dalam penjara, ahli keluarganya hanya dibenarkan menziarahinya sebanyak 6 kali.

Pada tahun 2011, beliau ditawarkan pembebasan menerusi pertukaran tawanan dengan tawanan Israel ditangan pejuang Islam. Namun beliau menolak kerana hendak memberi peluang kepada rakan-rakan lain yang lebih dahulu daripadanya merengkok dalam penjara.

Walaupun didera fizikal dan mental dengan begitu dahsyat, Abdullah masih istiqamah dengan aqidah perjuangannya dan tidak terkesan dengan penyiksaan yang dilakukan.

Buktinya sepanjang berada dalam penjara, beliau telah menghasilkan banyak tulisan termasuk berbentuk buku yang sangat bermanfaat. Tulisan-tulisan beliau membuktikan beliau masih istiqamah bersama perjuangan Islam dan perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Yahudi.

Bahkan ketika dalam penjara, beliau berjaya menamatkan tesis pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Al Quds pada 2022.

Dalam satu tulisannya, beliau menulis bahawa beliau sangat yakin, beliau akan menang dan akan berjaya keluar dari pemenjaraan ini.

Antara buku yang dihasilkannya dalam penjara:

  1. Jurutera jalanan
  2. Syahid yang hidup
  3. Palestin yang merindui dan yang dirindui
  4. Kompas Perjuangan
  5. Kisah Mata-mata Shabak
  6. Jihad Dakwah dan Jihad Mujahidin

Sehingga kini Abdullah Al Barghuthi masih merengkok di dalam penjara dan tidak diketahui bila akan dibebaskan.

Menerusi operasi Tufan Al Aqsa, HAMAS menjadikan tuntutan pembebasan tahanan Palestin sebagai keutamaan.

November lalu, HAMAS berjaya membebaskan ratusan umat Islam dengan cara pertukaran tawanan 1:3. Seorang tahanan Israel dibebaskan dengan bayaran tiga orang banduan Palestin.

Ramai menjangkakan HAMAS akan menuntut supaya dibebaskan tahanan Palestin dengan nisbah sepertimana proses pertukaran Gilad Shalit. Pada 2011 ‘seorang’ Gilad Shalit telah ditukar dengan 1027 orang Islam yang ditahan dalam penjara Israel, termasuk lebih 400 orang yang telah dijatuhi hukuman penjara seumur hayat.

Namun Ismail Haniah mengumumkan, “Kali ini kita tidak akan membebaskan semua tahanan Israel melainkan Israel terlebih dahulu membebaskan semua tahanan Islam di penjara-penjara mereka.”

Senarai teratas tuntutan HAMAS supaya dibebaskan… Abdullah Al Barghuthi (Hamas), Marwan Al Barghuthi (Fatah) dan Ahmad Saadat (Jabhah Syaabiyah)

Pemerhati berpendapat, walaupun HAMAS bertegas dalam soal ini, namun yang dijangka berada dalam senarai teratas untuk dituntut pembebasan ialah Marwan Al Barghuthi (Fatah), Ahmad Saadat (Syaabiyah) dan Abdullah Al Barghuthi (HAMAS).

Marwan adalah antara pemimpin tertinggi Fatah dan disebut-sebut sebagai pemimpin yang akan menggantikan Mahmud Abas sebagai Presiden Palestin.

Ahmad Saadat pula ialah Setiausaha Agung Jabhah Syaabiyah Untuk Pembebasan Palestin.

Manakala Abdullah Al Barghuthi pula ialah lelaki luar biasa dari HAMAS yang kita bicarakan dalam artikel ini. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

- Advertisement -