Kebebasan bersuara dijamin dalam Islam

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebebasan mengeluarkan pendapat atau bersuara adalah dilindungi dan dijamin di dalam negara Islam, kata Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed.

- Advertisement -

Pengerusi Sidang As Sabiqun PAS Pusat itu berkata, bahkan kebebasan bersuara itu menjadi kewajipan kepada setiap insan dalam sesuatu perkara yang menyentuh akhlak dan kemaslahatan umum dan peraturan umum serta dalam perkara yang dianggap mungkar dalam syariat Islam.

Menurut beliau, apabila setiap insan mempunyai hak untuk bercakap apa yang dianggap sebagai hak dan benar serta mempertahankan lidah dan pena berdasarkan kepada akidahnya maka kebebasan bersuara bukanlah mutlak.

Katanya, tetapi kebebasan bersyarat iaitu apa yang ditulis dan apa yang disuarakan itu tidak terkeluar dari batas-batas adat dan akhlak yang mulia dan tidak bertentangan dengan nas-nas syarak.

Beliau berkata, kebebasan bersuara hendaklah digunakan untuk mencari kebenaran dan kemaslahatan umum.

“Menegur untuk kepentingan Islam dan menasihati pemerintah sesuai dengan kehendak Allah.

“Kebebasan bersuara tidak digunakan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk, menghina atau mengaibkan orang lain bagi mendapatkan habuan peribadi dan pangkat.

“Kebebasan bersuara hendaklah dijaga dan dipelihara prinsip akidah Islamiyah. Seseorang itu tidak boleh mencela agamanya sendiri, Rasulullah SAW atau akidah Islamiah atas alasan kebebasan bersuara,” katanya.

Tambah beliau, tidak boleh mencaci menuduh orang lain dengan tuduhan-tuduhan yang menyinggung perasaan mereka atas alasan kebebasan bersuara.

Kata beliau prinsip kebebasan bersuara dalam Islam adalah jalan pertengahan antara kebebasan bersuara secara mutlak dan kebebasan bersuara bersyarat.

Maka kata beliau asas utama dalam syariat Islamiah dalam prinsip kebebasan bersuara itu tertakluk kepada soal-soal yang menyentuh akhlak dan adab serta peraturan umum.

Tujuannya ujar beliau ada had kebebasan untuk menjaga dan memelihara keluhuran akhlak, adab dan undang-undang umum.

Sehubungan itu, tegas beliau, syariat Islam membolehkan setiap insan untuk mengeluarkan pendapatnya mengikut kehendaknya dengan syarat tidak mengandungi permusuhan, seperti mencela, menghina mengaibkan dan berbohong.

Kata beliau sebaliknya hendaklah memberi pendapatnya dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbincang dengan cara yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

- Advertisement -