Umat Islam perlu pulau konsert Ed Sheeran

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang meminta umat Islam di negara ini memulau konsert penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran ‘− = ÷ ×’ atau ED The Mathematics Tour yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari ini.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan bahawa umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

- Advertisement -

Beliau turut menggesa kerajaan membatalkan segera kebenaran konsert itu, selain perlu menghormati pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak berhubung penganjuran konsert itu.

“Sungguh dikesali negara kita membenarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.

“Sebagai seorang mufti, saya rasa bertanggungjawab menggesa kerajaan melalui kementerian terbabit supaya membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut.

“Hormatilah pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak, lebih-lebih lagi larangan terhadap aktiviti LGBT bukan merupakan ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Wan Salim berkata, Malaysia tidak harus membuka ruang kepada penganjuran konsert artis yang mendukung amalan maksiat, tambahan pula majoriti penduduk negara beragama Islam.

Menurutnya, setiap Muslim mengetahui bahawa Islam menolak segala hubungan sejenis yang tidak ditegakkan di atas pernikahan yang sah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan bertanggungjawab mencegah kemungkaran seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah al-Haj ayat ke-41.

“Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan. Justeru, saya meminta seluruh umat Islam di negara ini supaya memulaukan konsert yang dicadangkan itu.

“Ingatlah umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara (yang membawa kepada) dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -