Konsert artis Barat makin ligat di era Madani

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Di era Malaysia Madani rakyat negara ini makin disuburkan dengan konsert-konsert yang menampilkan artis dari Barat.

- Advertisement -

Selepas penganjuran konsert Coldplay di Stadium Bukit Jalil tahun lepas, satu lagi konsert melibatkan artis luar negara bakal diadakan 24 Februari ini.

Artis terbabit dikatakan membawa fahaman lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Komunikasi perlu membatalkan konsert tersebut yang membawa agenda songsang dalam masyarakat.

Katanya, apa sahaja hiburan membabitkan artis antarabangsa perlu dielak sebagai simpati terhadap nasib penduduk Palestin yang sedang berhadapan dengan kekejaman Zionis Yahudi.

“Konsert seperti itu tidak perlu dibuat dalam tempoh peperangan yang sedang berlaku di Palestin, ia menunjukkan kita tidak sensitif dengan nasib saudara kita di sana.

“Malah lebih berat lagi kalau artis terbabit menyokong fahaman LGBT, kerajaan kena membatalkan konsert sedemikian kerana ia membawa kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis kesyukuran dan penghargaan petugas Malam Murabbi Ummah Bersama Prof Dr Ustaz Abdul Somad Batubara dan Himpunan Pertahankan Syariah di JKR 10 hari ini.

Program itu dirasmikan Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Media sebelum ini mendedahkan, seorang penyanyi dari United Kingdom Ed Sheran bakal mengadakan konsert jelajahnya ‘ ? = ÷ ×’ atau ‘ED The Mathematics Tour’ ke beberapa negara Asia termasuk Malaysia.

Konsert yang dijangka diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur itu turut diserikan dengan kehadiran seorang lagi artis antarabangsa, Calum Scott. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -