Kelantan contohi China pertahan tempat bersejarah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berusaha mencontohi negara China bagi memelihara tempat-tempat bersejarah dan kebudayaan yang dipertahan sejak ribuan tahun.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Seni dan Warisan, Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, banyak tempat menarik yang terdapat di China.

Antaranya kata beliau warisan budaya Islam di Yunnan, Xinjiang dan Xi’an.

Oleh itu katanya kerjasama dalam bidang budaya dan seni dengan Kerajaan China diadakan lebih-lebih lagi sempena sambutan Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

“Kita gembira dapat bertemu wakil Persatuan Pengajian Islam, yang berkebetulan mengunjungi lokasi sama ketika rombongan Kelantan melawat masjid berusia 1,300 tahun di Guangzhou.

“Kita mengambil peluang berkongsi tentang keunikan Kelantan yang memiliki masyarakat pelbagai bangsa dan agama,” katanya di sini.

Baru-baru ini, delegasi dari Kelantan diketuai Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan mengadakan kunjungan ke China sempena sambutan ulang tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia dan China. (Foto atas)

Kamarudin juga berkata, kunjungan singkat tersebut memberi kesan mendalam kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan pertukaran budaya dan pelancongan di antara Kelantan dan China.

“Kita sentiasa menyambut baik pelancong dari China berkunjung ke Kelantan sempena TMK2024.

“Terima kasih kepada Persatuan Pembangunan Seni dan Kebudayaan Malaysia (MACDA) yang menyambut delegasi Kelantan ke China,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -