SPPM-PASTI: Penilaian yang tiada di prasekolah lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) merupakan penilaian prestasi dan pencapaian murid dalam sistem pembelajaran dan aktiviti kokurikulum yang digunakan oleh PASTI.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, SPPM mula dilaksanakan bermula pada tahun 2020 dengan memberi fokus atau menerapkan elemen 5C iaitu Celik Sahsiah, Celik Al-Quran, Celik Bahasa, Celik Minda dan Celik Cerdas.

“Setiap satu elemen merangkumi modul-modul yang membantu para guru PASTI dalam memberikan bimbingan dan melaksanakan pembelajaran untuk anak-anak pelajar. SPPM juga menyediakan struktur pemarkahan bagi menambahbaik penilaian prestasi anak-anak pelajar. 

- Advertisement -

“Ia seterusnya dapat memberi panduan kepada para guru malah juga ibu bapa untuk melihat kekuatan dan kelemahan anak-anak agar diberi penekanan lanjut,” ujarnya melakukan ‘review’ dan perkongsian tersebut.

Jelas beliau, SPPM menggambarkan komitmen dan kesungguhan warga kerja institusi PASTI dalam menawarkan bimbingan, pendidikan dan pembelajaran awal yang terbaik kepada anak-anak di seluruh negara.

Menurut beliau, menerusi penilaian SPPM maka PASTI dapat menentukan pelajar terbaik di peringkat-peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan di mana tiada penilaian seperti itu di institusi prasekolah lain.

“Kita semua sedia maklum penganjuran pelbagai pertandingan ilmiah dan sukan untuk anak-anak pelajar PASTI di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan. Bayangkan anak-anak seawal 5 dan 6 tahun sudah wakili kawasan atau negeri untuk sesebuah pertandingan. 

“Pendedahan dan pengalaman awal yang sangat berharga untuk mereka. Terbaharu dalam setahun dua ini, PASTI jalankan penilaian untuk menobatkan anugerah pelajar terbaik di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan,” ujar ADUN Beserah itu. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -