‘DS Account’ perosak dan barah baharu generasi muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Generasi muda kini semakin dirosakkan dengan tangan-tangan mereka sendiri oleh kebebasan dunia tanpa sempadan, ditambah pula dengan jiwa memberontak yang mudah tunduk kepada nafsu, menambahkan parah tersebut.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Dakwah Pemuda PAS Selangor, Ustaz Al-Amin mengupas mengenai isu ‘DS Account’ oleh pengguna tegar platform X (Twitter) yang sudah berlarutan sekian lama, tetapi semakin memuncak hari demi hari.

“Seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya. ‘DS Account’ adalah singkatan bagi perkataan ‘Dark Side Account’. Ia membawa maksud pemilik akaun tersebut memaparkan sisi gelapnya terutama keinginan seksual mereka tanpa mendedahkan nama dan gambar mereka sendiri.

“Platform ‘DS Account’ ini dijadikan saluran untuk mereka yang mahu bebas berkata apa-apa sahaja seperti mencarut, malah lebih parah lagi ada yang berani mengajak orang lain untuk melakukan seks, malah turut menjual rakaman video seks kepada umum. 

“Sukar untuk memastikan dengan tepat pemilik sebenar kepada ‘DS Account’ tersebut, namun dipercayai watak pemiliknya di dunia sebenar sangat berbeza dengan apa yang digambarkan di ‘DS Account’ mereka. Mudah kata, ‘DS Account’ adalah tempat mereka melampiaskan nafsu terpendam mereka.

- Advertisement -

“Pihak berkuasa perlu menggerakkan ‘task force’ yang lebih tuntas dan praktikal untuk membendung penularan kewujudan platform ‘DS Account’ ini kerana ia sudah menjadi kanser tahap 4 yang sangat berbahaya kepada anak muda terutama kaum Melayu,” gesanya.

Menurut beliau, polis berjaya menahan seorang ‘gigolo’ warga tempatan berusia 31 tahun bersama dua teman wanitanya kerana menjual koleksi klip video lucahnya bersama lebih 20 orang wanita, baru-baru ini. 

Maklum beliau, berdasarkan laporan media, aktiviti ‘gigolo’ tersebut di media sosial telah berlaku sejak Julai tahun lepas kepada hampir 2,600 pelanggan tetap dengan bayaran sekitar RM20 hingga RM100.

Lebih membimbangkan ujar Ustaz Al-Amin, rata-rata pelanggan aplikasi tersebut adalah daripada golongan lelaki gersang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat.

Media melaporkan, suspek dan dua teman wanitanya ini disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara selama 19 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi.

“Harus diingat, tugas kita bukan sekadar menyebarluaskan kebaikan, tetapi turut dipertanggungjawabkan untuk mencegah kemungkaran. Gejala meluahkan keinginan seksual di media sosial sudah sangat membimbangkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -