Pencen: Miskin dalam kalangan Melayu akan meningkat?

Susulan skim baharu jawatan tetap tidak berpencen perkhidmatan awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skim baharu jawatan tetap tidak berpencen untuk kakitangan awam yang dilaksanakan bermula Februari nanti bererti akan wujud dua skim dalam perkhidmatan awam negara. 

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8, Prof Dato’ Dr Marzuki Mohamad berkata, sekiranya gaji dua kumpulan itu sama, maka ‘take home income’ pegawai tidak berpencen akan lebih rendah daripada pegawai berpencen. 

“Kerana mereka perlu tolak 11 peratus daripada gaji mereka untuk caruman KWSP. Adakah kerajaan akan menaikkan gaji pegawai tetap tidak berpencen untuk membolehkan mereka menikmati ‘take home income’ yang sama?

“Kajian juga perlu dibuat untuk melihat jumlah ‘retirement saving’ pegawai tidak berpencen dalam KWSP apabila mereka bersara pada umur 60 tahun,” ujar beliau cuba membahas implikasi perkara itu. 

Beliau bermaksud menyatakan bahawa mereka itu akan mempunyai jumlah simpanan yang secara relatifnya tidak setara atau lebih baik berbanding jumlah bayaran pencen diterima pegawai berpencen untuk menyara kehidupan selepas bersara. 

- Advertisement -

Kerana peringat Dr Marzuki dalam menumpahkan keprihatinannya kepada isu itu, bahawa negara sedang beralih ke ‘ageing nation’ iaitu lebih ramai rakyat negara ini hidup sebagai warga emas pada masa akan datang.

Beliau menjentik persoalan untuk kemungkinan kerajaan bercadang menambah caruman majikan melebihi 12 peratus atau memperkenalkan manfaat persaraan tambahan kepada mereka tersebut. 

“Jika ya, apakah implikasi kewangan kepada kerajaan? Perlu diingat, gaji penjawat awam secara relatifnya adalah lebih rendah daripada pekerja swasta, terutamanya mereka dalam kategori kakitangan sokongan seperti kerani, pembantu pejabat dan lain-lain. 

“Sekiranya jumlah caruman KWSP majikan untuk mereka adalah sama seperti pekerja swasta, dan tiada manfaat persaraan tambahan diberikan kepada mereka, ramai daripada mereka akan tergolong dalam kategori miskin selepas bersara. 

“Oleh kerana sebahagian besar penjawat awam adalah orang Melayu, adakah golongan miskin dalam kalangan orang Melayu akan meningkat lagi selepas ini?” ujarnya membangkitkan implikasi terpenting kepada isu ini.

Turut dibayangkan kemungkinan pesara kerajaan dalam kumpulan sokongan terpaksa bekerja sehingga ke hujung usia untuk menyara kehidupan, justeru, kerajaan pula perlu mengekalkan skim pencen kepada kakitangan kerajaan dalam kategori ini.

“Nampaknya, kakitangan kerajaan selepas ini tidak boleh lagi berangan-angan untuk balik kampung, bina rumah, berkebun, bela ayam itik dan hidup tenang selepas bersara. Perubahan skim pencen ini akan merubah kehidupan jutaan manusia. 

“Maka, sewajarnyalah ia diberi perhatian dari lensa manusiawi bukan semata-mata dari sudut rasionalisasi sektor awam,” ujarnya menggesa isu tersebut dipertimbangkan semasak-masaknya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -