Rancang persempadanan semula mukim penghulu, masjid

Jamaluddin Ishak
- Advertisement -

KOTA BHARU: Urusetia Penghulu Kelantan merancang untuk melakukan persempadanan semula mukim antara mukim penghulu dan mukim masjid yang tidak selaras sebelum ini.

- Advertisement -

Pengarahnya, Jamaluddin Ishak berkata pihaknya mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia).

Beliau berkata, usaha itu bagi menyelaraskan pentadbiran khususnya penyaluran bantuan kepada penduduk yang memerlukan agar tidak berlaku pertindihan antara agensi.

“Terbaharu kita merancang untuk membuat kajian persempadanan mukim sebab sempadan penghulu mukim ini dia tidak selaras ada mukim yang besar dan ada mukim yang kecil.

“Kita akan buat persempadanan semula, makna kita sekarang ini kita nak samakan sempadan mukim dengan mukim masjid terlebih dahulu sebelum sempadan bagi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perkenalan Penghulu Baru 2024 yang diadakan di Dewan Nik Abdullah Arshad di Wisma Kompleks Purnama di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat kepada 86 penghulu baru mengenai pentadbiran Urusetia Penghulu Negeri Kelantan, mengenali kakitangan selain bidang tugas yang ditetapkan.

Sebelum ini seramai 880 penghulu dilantik awal tahun ini membabitkan Penghulu Mukim, Penghulu Tanpa Mukim, Penghulu Parlimen, Penghulu Wakil Kaum dan Penghulu Seranta seluruh negeri.

Jamaludin berkata lagi, peringkat pertama membabitkan kerjasama dengan PlanMalaysia iaitu membuat persempadanan semula kampung bagi memudahkan pentadbiran.

Beliau berkata, kini pihaknya sedang berunding dengan Maik untuk menyesuaikan sempadan antara kampung-kampung dalam sebuah mukim penghulu dengan mukim masjid.

“Kita nak sumber bantuan kepada rakyt ini dia banyak, pihak Maik ada sumber bantuan dia, kerajaan negeri pun ada, kerajaan pusat pun ada dilaksanakan oleh jabatan.

“Jadi bila bantuan diberi mengikut sempadan yang berbeza maka akan ada pertindihan, misalnya Maik nk bagi bantuan kadang dia minta penghulu juga, kita tidak mahu ini berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2024

- Advertisement -