Penghulu tidak dilantik semula atas keputusan parti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebahagian penghulu daripada Bersatu yang dilantik pada tahun 2023 tidak disambung bagi tahun 2024 atas keputusan parti itu sendiri.

- Advertisement -

Pengarah Urusetia Penghulu Kelantan, Jamaluddin Ishak berkata, kerajaan negeri menetapkan kuota 45 jawatan kepada Bersatu dan sembilan kepada Gerakan.

Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan pelantikan itu bagi menjaga hubungan harmoni antara parti-parti yang mendukung keutuhan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kelantan.

“Beberapa orang yang telah dilantik pada tahun lalu tidak dilantik semula, kalau di Gua Musang itu semua sekali tidak dilantik dan ada beberapa lagi di kawasan lain.

“Ini adalah keputusan dan kehendak parti masing-masing kerana pelantikan penghulu dicadangkan oleh parti masing-masing untuk dilantik kepada jawatan penghulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perkenalan Penghulu Baru 2024 yang diadakan di Dewan Nik Abdullah Arshad di Wisma Kompleks Purnama di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat kepada 86 penghulu baru mengenai pentadbiran Urusetia Penghulu Negeri Kelantan, mengenali kakitangan selain bidang tugas yang ditetapkan.

Sebelum ini seramai 880 penghulu dilantik awal tahun ini membabitkan Penghulu Mukim, Penghulu Tanpa Mukim, Penghulu Parlimen, Penghulu Wakil Kaum dan Penghulu Seranta seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 28/1/2024

- Advertisement -