
KOTA BHARU: Kelantan Gold Trade (KGT) Sdn Bhd bekerjasama Urusetia Penghulu Kelantan bagi menggalakkan masyarakat di negeri ini untuk menyimpan lebih banyak dinar dan dirham.
Pengurusnya, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata, berbanding mata wang tempatan Ringgit Malaysia (RM) yang terus menjunam saban hari, namun nilai dinar dan dirham tidak pernah susut.
Beliau berkata, institusi penghulu merupakan entiti yang paling dekat dengan masyarakat yang berupaya memberi galakan agar dapat bersama-sama merealisasikan hasrat tersebut.
“Program terbaharu sekarang ini kita banyak kepada program komuniti yang mana kita mensasarkan kepada masyarakat kita satu mengenai kesedaran mereka dinar dan dirham Kelantan.

“Sekarang ini kita bergerak kepada koperasi antaranya koperasi penghulu, kita boleh bagi dalam bentuk sumbangan dan mereka boleh sebarkan penduduk mukim masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perkenalan Penghulu Baru 2024 yang diadakan di Dewan Nik Abdullah Arshad di Wisma Kompleks Purnama di sini hari ini.
Terdahulu seramai 86 lantikan baru menerima taklimat mengenai program yang ditawarkan oleh KGT termasuk manfaat diberikan penghulu dan anak mukim dalam kawasn masing-masing.
KGT Sdn Bhd bernaung di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ditubuhkan pada 23 Oktober 2008 selepas kerajaan Kelantan melancarkan penggunaan dinar dan dirham pada 2006.
Wan Muhammad Najahuddin berkata lagi pihaknya turut melancarkan sistem pembelian dan jualan dinar dan dirham dalam talian (e-DnD) yang dilancarakan pada Julai tahun lalu.
Beliau berkata dengan kecanggihan teknologi kemudahan internet dan transaksi atas talian, ia memudahkan lagi urusan tersebut termasuk mengeluarkan wang tunai segara.
“Yang mana kita ada satu portal akaun, dalam akaun itu mereka boleh buat belian jualan balik secara terus, selain mereka juga boleh penukaran antara dirham kepada dinar.
“Mereka juga boleh keluarkan wang tunai, dari segi pengeluaran dia boleh buat transaksi ini di pejabat kita KGT di bangunan PMBK dan tujuh cawangan kita seluruh Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!