Baitus Solehah tambah kemahiran pelajar perempuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita (U-KeKwa) negeri Kelantan telah menganjurkan program Baitus Solehah bagi menambah ilmu kemahiran pengurusan rumah tangga dalam kalangan pelajar perempuan khususnya dalam kraftangan dan membuat kuih-muih.

- Advertisement -

Program perintis anjuran bersama U-KeKwa dan Yayasan Islam Kelantan (Yik) akan dipergiatkan pada masa akan datang bagi menambah ilmu kemahiran pelajar berkenaan.

Pengarah U-KeKwa, Ilvira Mohd Dasuki berkata, sebagai aktiviti perintis ini, pelajar Maahad Muhammadi Perempuan telah dipilih untuk menjayakan program berkenaan.

Menurutnya aktiviti itu akan diteruskan memandangkan ia dapat memberi penekanan amali pada pelajar untuk menghadapi cabaran kehidupan berkeluarga masa akan datang.

Katanya, antara kuih-muih yang dimasak pelajar ialah akok, manakala kraftangan dan seni jahitan pula gubahan bakul gula-gula dan jahitan sulam pangkah bendera Palestin.

“Alhamdulillah, apa yang dapat kita tengok mereka begitu seronok dan teruja setelah mengikuti kelas ini beramai-ramai termasuk guru-guru,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Yik (Sekolah), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad, mengakui program berkenaan begitu baik sebagai persiapan diri pelajar apabila mereka berada di alam rumah tangga.

Menurut beliau, pihaknya mengalu-alukan program berkenaan diteruskan dan berharap ia diadakan di sekolah-sekolah besar lain di bawah Yik.

“Yik, mengucapkan terima kasih di atas cetusan idea khususnya bekas exco kerajaan negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi sebelum ini, di samping penyediaan prasarana di tempat kursus,” tambahnya.

Untuk rekod, Baitus Solehah adalah sebuah projek rintis yang dirasmikan pada pada 31 Januari 2023 untuk memberi kemahiran kepada pelajar belajar kemahiran walaupun tiada dalam silibus Yik.

Sebuah bangunan berkeluasan 1,000 kaki persegi yang terletak di dalam kawasan asrama pelajar MMP telah dipilih untuk menjayakan program tersebut.

Menariknya, bangunan ini turut dilengkapi kemudahan peralatan rumah seperti set bilik tidur, sofa, meja makan, mesin basuh, peti ais dan peralatan dapur yang lengkap untuk memudahkan pelaksanaan amali kepada pelajar dengan situasi sebenar pengurusan rumah tangga. – HARAKAHDAILY 28/1/2024

- Advertisement -