Semarak Subuh Johor: Agar anak muda Islam terus bangkit

- Advertisement -

LEBIH 12,000 jemaah hadir bagi melaksanakan solat Subuh dan mengimarahkan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn pada Sabtu yang lalu.

Program Semarak Subuh Johor ini telah bermula pada 5 Januari yang lalu, secara serentak di masjid dan surau seluruh Johor. Dalam Belanjawan Johor 2024, sebanyak RM560,000 telah diperuntukkan untuk Program Semarak Subuh di 56 kawasan DUN sepanjang tahun 2024.

Kami menyambut dan menyokong usaha ini dan amat berharap agar program ini dapat menarik dan membentuk anak muda yang rapat dengan masjid. Program ini juga dilihat dapat membentuk komuniti yang lebih kuat dan saling-mengenali.

Justeru, kami ingin mengajak semua anak muda untuk terus istiqamah dalam melaksanakan solat Subuh di masjid-masjid mahu pun surau-surau yang berdekatan.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, kami ingin mencadangkan beberapa perkara untuk diusahakan bersama bagi Semarak Subuh Johor ini:

1. Kerajaan libatkan kerjasama semua pihak.

Dilaporkan bahawa RM560,000 diperuntukkan untuk 838 buah masjid dan 1,942 buah surau seluruh Johor. Secara purata, sebuah masjid atau surau akan menerima sebanyak RM201. 

Sebagaimana yang dilihat, bilangan peruntukkan per masjid atau surau yang diberi tidaklah besar. Maka, kerajaan negeri boleh usahakan silang kerjasama dengan NGO, syarikat korporat, media dan organisasi lain untuk mempromosikan nilai dan usaha ini. 

2. Fokuskan kepada maksud, tidak hanya kuantiti dan materi.

Gambaran besar bagi usaha ini tidak lain adalah bagi membentuk masyarakat Muslim yang mengusahakan untuk solat berjemaah di masjid pada setiap waktu solat.

Program ini boleh menjadi medium agar makna ini dapat disampaikan dengan penglibatan para pendakwah, influencer, ahli motivasi dan wakil rakyat. 

3. Masjid melibatkan anak muda.

Menjadikan program ini untuk menarik anak muda terlibat sama dengan urusan masjid mahupun surau, contohnya dalam urusan penyediaan makanan dan sebagainya. Agenda me’muda’kan masjid dan surau.

4. Perkasakan aktiviti masjid dan surau.

Masjid atau surau boleh menyusun aktiviti yang menarik untuk golongan anak muda seperti aktiviti memanah, ping pong, bersilat dan sebagainya selepas solat Subuh selain pengisian rohani.

Lihat sahaja usaha Alif Satar yang mengajak anak muda untuk ber’jogging’ selepas solat Subuh berjemaah bagi mempromosikan gaya hidup yang berkat dan sihat.

5. Masjid dan surau berkolaborasi dengan sekolah.

Masjid dan surau boleh bekerjasama dengan sekolah dalam memberikan kelebihan kepada pelajar yang turun solat subuh berjemaah. Antaranya seperti pemberian kupon makanan kantin sekolah, anugerah atau sijil kepujian dari sekolah, pemberian saguhati (duit belanja atau duit raya), merit untuk lantikan pengawas dan lain-lain.

Bahkan masjid dan surau boleh dijadikan sebagai tempat van atau bas sekolah mengambil para pelajar ke sekolah.

Insya-Allah, semoga anak muda Islam di Johor akan terus bangkit untuk melaksanakan solat Subuh serta bangkit mengembalikan kegemilangan Islam. Bukan sahaja subuh, kita usahakan juga agar kita mampu untuk berjemaah di semua waktu solat, walau di mana kita berada.

ARIF AINUDDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru – HARAKAHDAILY 26/1/2024

- Advertisement -