KOTA BHARU: Pengajian selama enam tahun di Universiti Alexandria, Mesir dalam bidang perubatan berbaloi apabila kerajaan negeri menanggung kos pembelajaran RM140,000.
Nurul Hidayah Zahari, 26, dimaklumkan oleh Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin) bahawa pinjamannya ditukar biasiswa selepas mendapat keputusan cemerlang, pointer sebanyak 3.71.
Lebih manis lagi Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud turut mengadakan satu majlis di Pejabat Menteri Besar di Mabna MBI di sini bagi memberikan penghargaan.
Dia juga berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Kelas Pertama dari institusi pengajian tinggi itu yang menyebabkan pinjamannya ditukar dan ia menjadi polisi kerajaan negeri.
Kelantan melalui Yakin menetapkan pelajar yang mendapat keputusan kelas pertama sama ada diploma atau ijazah sarjana muda menerima biasiswa tanpa mengira jumlah pinjaman dipohon.
Selain itu, kerajaan negeri juga menetapkan pengurangan jumlah bayaran sebanyak 25 peratus bagi bayaran semula pinjaman serta 30 peratus bagi bayaran sekali gus.
Bekas lepasan Maahad Muhammadi Perempuan itu menyatakan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang membuat tajaan tersebut sehingga mencapai kejayaan.
Dia berkata ini merupakan berkat kegigihan dan usaha keras memberi hasil tanpa diduga, pada setiap semesta sudah menanam niat agar pinjaman kepada biasiswa direalisasikan.
“Selama enam tahun tempoh pengajian, saya berazam untuk tukar pinjaman kepada biasiswa bermula semester pertama lagi berkat kesabaran dan kegigihan, alhamdulillah saya berjaya.
“Kepada adik-adik belajarlah bersungguh-sungguh, simpan azam dengan kuat untuk berjaya kerana ia bukan suatu perkara yang mudah, perlu usaha dan kegigihan,” katanya.
Semasa belajar Hidayah pernah mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum merantau mencari ilmu ke Mesir yang digelar ardul kinanah.
Dia juga merancang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam perubatan membabitkan bidang pengkhususan dermatologist jika diberi peluang dan penajaan sekali.
Bagaimanapun buat sementara waktu dia mahu bekerja sebagai doktor pelatih di institusi perubatan bagi mendapatkan pengalaman kerja sebelum meneruskan pengajian peringkat sarjana.
Terdahulu Hidayah menerima sedikit penghargaan kerajaan negeri bersama lima lagi pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam pengajian di institusi pengajian masing-masing.
Mereka juga layak menerima biasiswa iaitu pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Fanisha Yusof yang mendapat CGPA 3.91, Nur Shabila Mohd Azman (3.77), Nur Syahirah Sakri (3.77), Muhammad Amirul Hakim Mohd Rozmi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (3.70) manakala Ahmad Fahde Mohd Azhar dari KIAS pula 3.86. – HARAKAHDAILY 25/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!