NR-REE: Kelantan pertimbang langkah seterusnya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mengadakan lawatan rasmi ke tapak perlombongan bagi Projek Perintis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia yang terletak di Mukim Kenering, Gerik Perak.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri menyedari kepentingan nilai sumber NR-REE pada masa depan dan mempunyai simpanan sebanyak RM125 bilion.

Beliau berkata pada lawatan itu rombongannya diberi peluang untuk melawat dan mendapat gambaran terperinci daripada awal sehingga peringkat proses akhir untuk mengeluarkan NR-REE.

“Isnin lalu, saya bersama rombongan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri telah diberi peluang untuk melawat tapak lombong ini dan kami telah diberikan gambaran terperinci proses ini.

“Alhamdulillah kita sedang mempertimbangkan langkah seterusnya untuk mengusahakan secara optimum aktiviti perlombongan ini dengan mematuhi prosedur yang dikeluarkan kerajaan pusat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan memberi tumpuan khusus terhadap kerja-kerja penerokaan sumber NR-REE yang dianggar bernilai RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan RM700 bilion di negara ini.

Kerajaan negeri juga sedang berusaha menyelaras prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan REE agar selaras dengan peraturan yang ditetapkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kelantan dianggar mempunyai rizab sebanyak 2.5 juta metrik tan NR-REE di Jeli, Gua Musang dan Tanah Merah bernilai RM125 bilion, Terengganu mempunyai simpanan bernilai kira-kira RM250 bilion. – HARAKAHDAILY 25/1/2024

- Advertisement -