Jumlah mangsa banjir di Kelantan cecah 883 

Keadaan banjir di Kampung Pasir Raja Hulu Dungun, Terengganu pada 25 Jan 2024. (FOTO: TikTok@miss_raaa28)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan pada hari ini, Jumaat semakin meningkat apabila seramai 883 orang mangsa dari 270 keluarga telah dipindahkan ke 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

Peningkatan jumlah mangsa banjir itu jelas ditunjukkan berbanding malam tadi dengan jumlah mangsa kira-kira 600 orang yang ditempatkan di 13 PPS.

- Advertisement -

Melalui kemaskini terakhir pagi ini, PPS terbabit telah dibuka di Kuala Krai (6), Tanah Merah, (7) Machang (1) dan dua di Pasir Putih; dengan Tanah Merah merupakan jajahan terbaru dilanda banjir d Kelantan.

Sementara itu, Terengganu mencatatkan jumlah mangsa banjir paling tinggi dalam gelombang keempat banjir Pantai Timur ini apabila seramai 2,185 orang mangsa dari 595 keluarga dipindahkan ke 32 PPS.

Empat jajahan telah terlibat dengan banjir yang melibatkan Setiu (6 PPS) Hulu Terengganu, (4), Besut (16) dan Dungun (6).

Hujan yang kembali lebat semalam menyebabkan Pahang terpaksa membuka semula  PPS di negeri itu setelah ia ditutup sehari sebelumnya bagi menempatkan mangsa terbaru 468 orang dari 292 keluarga; dengan kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Sungai Lembing, Kuantan.

Sementara, tiga buah PPS turut dibuka di  Kota Tinggi, Johor bagi menempatkan 253 orang mangsa dari 62 keluarga.

Nur Asilah (dua dari kiri) dan Mohd Rodzi (kanan) melawat mangsa banjir di PPS Pasir Puteh.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir yang dipindahkan ke sebuah PPS di sebuah sekolah di Pasir Putih, Husin Abdullah, 55, memberitahu, dia tidak menduga air banjir naik dengan mendadak sehingga beliau dan keluarga tidak membuat sebarang persediaan.

Menurutnya, apabila melihat persekitaran rumah air semakin naik, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk berpindah dengan segera tanpa sempat menyelamatkan beberapa keperluan lain.

“Ketika  itu kami hanya berfikir untuk menyelamatkan nyawa keluarga sahaja,” katanya

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan wanita negeri Kelantan, Nur Asilah Mohd Zin, yang diiringi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd Rodzi Jaafar, telah turun ke melawat mangsa-mangsa banjir dalam Jajahan Pasir Putih untuk bertanya khabar mangsa-mangsa banjir.  HARAKAHDAILY  26/1/2024

- Advertisement -