PRN: PAS Kelantan tampil 30 peratus muka baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan menampilkan 30 peratus muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, muka baharu terbabit merupakan individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Katanya, golongan terbabit tidak semestinya melibatkan golongan muda sahaja.

“Ia merupakan amalan biasa yang kita buat setiap kali pilihan raya dan senarai calon yang bakal bertanding juga telah ada.

“Ia sudah di peringkat akhir. Biasanya ia akan selesai pada saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik) di sini hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, senarai nama calon sudah ada di tangan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Menurut beliau juga setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) akan mempunyai tiga calon dan seorang daripadanya akan dipilih.

Beliau juga berkata, PAS memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi yang dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Bersatu bertanding di kerusi yang dimenangi Umno sebelum ini dan PAS akan mempertahankan di kerusi yang ada sekarang.

“Bagaimanapun tidak dinafikan ada kemungkinan sedikit perubahan di kerusi tertentu,” ujarnya.

Pada PRU14 Umno menang di Dun Galas, Paloh, Nenggiri, Kuala Balah, Bukit Bunga, Gual Ipoh dan Kok Lanas. Manakala Bersatu menang di Dun Ayer Lanas.

Sementara itu pada Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2023 seramai 18 tokoh dan ikon wanita Kelantan yang cemerlang dalam pelbagai bidang menerima anugerah. – HARAKAHDAILY 1/6/2023

- Advertisement -