‘Keterangan ke atas orang yang mendakwa’ untuk tegakkan keadilan

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 90)

- Advertisement -

Seorang pegawai Umar bin Abdul Aziz di Iraq menulis surat kepadanya:

Ada rakyat di tempatnya mengambil harta dengan banyak yang bukan milik mereka. Beliau tidak mampu mengambil balik dari tangan mereka melainkan dengan menimpakan mereka dengan sedikit deraan.

Umar menjawab: “Sangat pelik apabila engkau minta izin dariku untuk mendera orang lain, seolah-olah aku ini perisai kamu dari azab Allah, dan keredaanku dapat menyelamatkan kamu dari kemurkaan Allah! Kamu lihatlah keterangan saksi, maka ambillah keterangan itu. Sesiapa yang mengaku mengenai sesuatu, maka terimalah pengakuannya. Sesiapa yang mengingkari, maka mintalah dia bersumpah dengan nama Allah dan lepaskannya. Demi Allah! Mereka bertemu Allah dengan pengkhianatan mereka terlebih kasih kepadaku dari aku bertemu Allah dengan (ada kesalahan melibatkan) darah mereka.” (Al-Bayan al-Fasil baina al-Haq wal-Batil, Ali Fikri ms 169)

Islam telah meletakkan garispanduan dalam menilai benar dan salah seseorang. Kaedahnya jelas:

البينة على من ادعى و اليمين على من انكر

Keterangan ke atas orang yang mendakwa, dan sumpah ke atas orang yang engkar.

Sesiapa yang mendakwa sesuatu, mesti mengemukakan bukti, hujah, saksi, keterangan. Orang yang engkar mesti bersumpah di hadapan hakim.

Apabila diikuti benar-benar kaedah yang ditetapkan oleh Islam ini, semua hak masyarakat, harta negara akan dapat dijaga dengan baik.

Ada sarjana Islam yang menyebut bahawa mesti dipastikan benar-benar siapa yang menjadi orang yang mendakwa dan orang yang didakwa. Ini kerana kesilapan dalam mengenalpasti pihak-pihak ini memberi implikasi hukum yang besar selepasnya.

Dalam surat pegawai Umar bin Abdul Aziz di atas, beliau membuat pengaduan kepada Umar tentang rakyatnya yang mengambil harta yang bukan menjadi milik mereka, tetapi sukar mendapatkannya kembali kecuali dengan sedikit kezaliman dan tindakan keras. Ia menunjukkan seolah-olah pegawai itu kurang memahami kaedah syarak yang sepatutnya diikuti apabila menghadapi sesuatu isu dan kes.

Perkara ini memberi pengajaran bahawa pegawai yang bertugas di mana-mana agensi atau sektor perlu ada ilmu, kefahaman dan diberikan ilmu mengenai apa yang ada di bawah tanggungjawabnya.

Umar bin Abdul Aziz sangat berprinsip dan bertegas dalam perkara dasar dan yang melibatkan hak orang lain, terutama rakyatnya.

Menzalimi orang lain sangat besar kesannya di dunia dan akhirat. Inilah yang menyebabkan beliau berkata: Demi Allah! Mereka bertemu Allah dengan pengkhianatan mereka terlebih kasih kepadaku dari aku bertemu Allah dengan (ada kesalahan melibatkan) darah mereka.

Semua dari kita ini pun, tanpa mengira siapa kita, jawatan dan kedudukan kita, wajib mengambil perhatian dari kata-kata Umar bin Abdul Aziz itu. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -