‘Nak berpolitik pun, biarlah gentleman’ – Sanusi

Sanusi dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada hari ini, 24 Jan 2024. (FOTO: Ihsan Jabatan AMAL Malaysia/Muaz Halid)
- Advertisement -

SHAH ALAM: “Nak berpolitik pun perlu dilakukan dengan cara yang gentleman.”

Itu respons Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebentar tadi.

“Saya sedikitpun tidak melakukan sebarang pengelakan apabila dipanggil oleh pihak mahkamah untuk tujuan perbicaraan,” katanya.

Menurut beliau, perkara tersebut turut dibuktikan dengan dirinya sendiri tetap datang di mahkamah pada hari ini kerana masih akur dengan undang-undang yang telah pun ditetapkan.

- Advertisement -

“Saya sendiri sedang tunjukkan contoh yang baik walau apa pun, ikut proses yang ditetapkan oleh mahkamah, dan ini sekaligus menafikan dakwaan-dakwaan yang kononnya menyatakan saya cuba nak melengahkan proses mahkamah itu sendiri,” tegasnya.

Selar tindakan kerajaan

Dalam pada itu, beliau juga menyelar tindakan kerajaan yang memperalatkan badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan hanya untuk memberikan gambaran buruk terhadap beliau dan negeri Kedah itu sendiri.

Kata beliau, semakin ramai orang mempunyai kesedaran bahawa tindakan tersebut hanya dilakukan oleh kerajaan persekutuan hari ini, yang mana berpolitik dengan cara sebegitu adalah tidak wajar.

Sanusi ketika beredar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini, 24 Jan 2024. (FOTO: Ihsan Jabatan AMAL Malaysia/Muaz Halid)

“Pada saya, janganlah gunakan agensi-agensi sebegini untuk bermain politik kerana lambat laun nanti orang akan nilai dan nampak juga kebenarannya.

“Tambahan pula, perbicaraan-perbicaraan sebegini oleh mahkamah tidak menafikan mengganggu masa saya tetapi saya masih boleh membahagikan masa untuk perkara tersebut yang mana mahkamah sendiri pun memberi ruang untuk tarikh-tarikh yang saya boleh hadir,” kongsi beliau.

Apabila ditanya apa harapan beliau selepas tamatnya perbicaraan oleh pihak mahamah, beliau hanya mahu melihat kejatuhan kerajaan Madani itu sendiri.

“Lagipun, itu harapan saya supaya nak melihat kerajaan sekarang inii sendiri yang jatuh,” katanya.

Sanusi dalam sidang media selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada hari ini, 24 Jan 2024. (FOTO: Ihsan Jabatan AMAL Malaysia/Muaz Halid)

Tarikh prosiding pendengaran permohonan

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini (24 Jan) telah menetapkan 1 Februari 2024 sebagai tarikh prosiding pendengaran permohonan Sanusi.

Sebelum ini, Sanusi, 49, telah membuat permohonan memindahkan dua kes pertuduhan menghasut yang dihadapi beliau itu dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Shah Alam.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan berkenaan pada hari ini tersebut selepas mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh peguam yang mewakili Menteri Besar berkenaan, Hasshahari Johari Mawi, yang memerlukan masa untuk membalas jawapan daripada pendakwa raya.

“Pihak kami akan memberi jawapan yang balas kepada afidavit yang dikemukakan pihak responden itu,” kata Hasshahari.

Sanusi menjawab pertanyaan pihak media di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini. (FOTO: Ihsan Jabatan AMAL Malaysia/Muaz Halid)

Mahkamah Tinggi Shah Alam juga turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 29 Januari ini.

Sebelum itu, peguam mewakili Muhammad Sanusi meminta tempoh selama dua minggu untuk mengemukakan jawapan balasan.

Bagaimanapun hakim berpendirian tempoh tersebut terlalu panjang.

Terdahulu, Sanusi dihadapkan dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai 2023.  HARAKAHDAILY  24/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -