Canggah Perlembagaan bukti DAP tidak setia kepada negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP tidak setia kepada negara terbukti daripada hala tuju parti itu yang berbeza dengan aspirasi penubuhan Malaysia, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu.

ADUN Beserah itu malah menyatakan, DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sekular, sedangkan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam selaku agama bagi negara ini.

Hasrat DAP menurutnya, untuk membentuk satu kerajaan Malaysian Malaysia yang menyamaratakan seluruh rakyat juga menunjukkan bukti bahawa parti itu tidak setia kerana bertentangan Perlembagaan.  

“Kita sedia maklum bahawa dalam Perlembagaan jelas dan menyatakan peruntukan bahawa orang Melayu dan Bumiputera itu ada kedudukan dan haknya. Jadi bagaimana mungkin DAP nak jadikan sama rata kalau dalam Perlembagaan telah memperuntukkan perkara tersebut? 

“Ini menunjukkan bahawa kesetiaan mereka kepada adalah kepada ideologi parti mereka dan bukannya kepada negara,” ujarnya ketika diminta mengulas tulisan terkini Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

DAP bidas beliau, turut campur tangan dalam hal ehwal agama Islam yang menurut Perlembagaan Persekutuan hanya diperuntukkan urusannya oleh orang Islam dan Raja-raja Melayu sahaja.

“Jadi bila pemimpin DAP mencadangkan supaya ada pembabitan orang bukan-Islam di dalam perkara-perkara hal ehwal Islam seperti membentuk jawatankuasa kena ada peguam bukan-Islam berada dalam jawatankuasa. 

“Itu juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka kepada Raja dan juga kepada Islam itu sendiri sebagai agama rasmi longgar dan juga tidak ada. Ini antara bukti yang menunjukkan bahawa kita boleh meragui kesetiaan DAP kepada negara,” hujahnya.

Andansura turut menyifatkan parti cauvinis itu berada dalam keadaan mendesak apabila cuba untuk merungkaikan Kontrak Sosial telah dipersetujui semasa negara ini mencapai kemerdekaan dahulu.

Jelasnya, dahulu semua pihak dan kaum menyatakan kebersamaan serta persetujuan kepada Kontrak Sosial tersebut yang menunjukkan kesetiaan kepada negara, sebaliknya DAP dalam soal bahasa rasmi pun tidak ditaati.

DAP bidas beliau, tidak mampu untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada kepada negara apabila sebahagian besar daripada ahli-ahlinya yang bukan-Melayu tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Bahkan katanya, tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan di dalam perbualan ataupun urusan harian mereka, sebaliknya mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka atau bahasa ketiga.

“Sebab itu kita kata kesetiaan mereka kepada negara boleh diragui kerana tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membentuk pemimpin dan juga ahli-ahli mereka untuk berbahasa kebangsaan dengan baik. 

“(Sedangkan) Memahami dan menggunakan bahasa kebangsaan adalah merupakan menunjukkan tahap kesetiaan kepada negara,” ujar beliau turut membahas desakan atau tuntutan dibuat parti itu.

Antaranya kemuka Andansura, adalah desakan DAP untuk mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Menurutnya lagi, ia membuktikan DAP hanya melihat kepentingan parti mereka sahaja tanpa melihat kedudukan keseluruhan demografi dan latar sosial negara ini yang tidak seimbang. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

- Advertisement -