Karnival Tahun Baru perkukuh tarbiah, pemahaman ahli

- Advertisement -

KANGAR: Karnival Tahun Baru 2024 anjuran PAS Kawasan Kangar berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat setempat.

- Advertisement -

Program tersebut menyajikan sembilan aktiviti menarik melibatkan setiap lapisan masyarakat di markas PAS sekitar Kangar pada Jumaat dan Pusat Tarbiyah PAS kawasan pada Sabtu.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Yussaine Yahya menyatakan bahawa program itu diadakan untuk memperkukuhkan lagi tarbiah dan pemahaman ahli PAS.

“Walaupun ini adalah kali pertama kita mengadakan program sebegini, Alhamdulillah ia mendapat sambutan kerana isi kandungan yang disampaikan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sambutan bermula pada malam Jumaat dengan Bicara YB bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil di Pusat Tarbiyyah PAS Kayang.

Melalui program itu, rakyat diberi peluang untuk menyuarakan pelbagai isu secara langsung dengan wakil rakyat mereka sambil berkongsi pendapat.

Pada hari berikutnya, Bicara Subuh diadakan oleh Adun Bintong, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail di Markas PAS Padang Kota.

Liqa’ Fikri bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Syeikh Mohammad Rodi Abdul Rahman menjadi acara utama karnival di Pusat Tarbiyah PAS Kangar.

Pada petang hari, Muslimah Indoor Game diadakan untuk kaum wanita melibatkan pertandingan gubahan telekung, congkak dan batu seremban.

Pada masa yang sama, pertandingan mewarna juga diadakan untuk kanak-kanak.

Kemuncak sambutan adalah Malam Gema Palestin dengan penampilan istimewa dari Ejam Medicine, Zul Handy Black, dan Ustaz Zulkifli Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zul Pandan.

Menurut pengarah program, Dr Abu Harith, dengan sambutan yang begitu menggalakkan pihaknya merancang untuk menganjurkan karnival seumpama itu setiap tahun sebagai tradisi menyambut tahun baru. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -