PASTI titik berat kesihatan rohani, jasmani pelajar

- Advertisement -

KALABAKAN: Islam adalah agama yang sempurna, bukan sahaja mendidik umatnya bahagia dunia tetapi juga mencapai kebahagiaan di akhirat.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah, semua aktiviti yang dilakukan di dunia ini adalah ibadah kepada Allah.

“Dalam konteks riadah dan bersukan, Islam sangat menggalakkan kita menjaga kesihatan rohani dan jasmani.

“Di PASTI, kita amat menitikberatkan perkembangan yang sihat rohani dan jasmani supaya dapat melahirkan anak-anak yang seimbang dari sudut perkembangannya,” ujarnya semasa merasmikan Sukaneka PASTI Pra Tahfiz Kawasan Kalabakan, kelmarin.

Tambahnya, bersukan bukan sahaja dapat tingkatkan kesihatan dan kekuatan fizikal, malah ia akan meningkatkan daya fokus dan daya fikir kanak-kanak.

“Dalam sukaneka PASTI ini, kita dapat mendidik sifat berusaha sungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kemenangan dan sabar dalam kekalahan.

“Ingatlah, kekuatan sendiri tidak mampu meraih kemenangan melainkan berkumpulan,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan.

Sukaneka PASTI Pra Tahfiz disambut meriah dengan kehadiran hampir 400 orang ibu bapa yang melibatkan 9 buah PASTI di kawasan Kalabakan.

Turut memeriahkan suasana adalah acara terbuka untuk kaum bapa iaitu tarik tali, larian 4 x 100 meter dan terowong kain yang melibatkan kaum ibu.

Selain itu, turut mendapat sambutan adalah kaunter daftar ahli PAS dan SKIMPAS.

Johan keseluruhan sukaneka bagi sesi 2023/2024 adalah PASTI Pra Tahfiz Nurul Ikhwan Umas-Umas. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -