Perlawanan kritikal Malaysia-Bahrain malam ini

Kim Pan Gon dan Shahrul Saad dalam sidang media di Doha, Qatar pada 19 Jan 2024. (FOTO: FAM)
- Advertisement -

DOHA: Perlawanan kedua Harimau Malaya, kali ini berhadapan dengan Bahrain adalah cukup kritikal buat kedua-dua pasukan yang terdesak untuk meraih tiga mata bagi menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

“Ini perlawanan kalah mati buat kami, kami akan buat apa sahaja yang kami ada untuk dapat tiga mata. Jadi, kami harus beraksi pada tahap terbaik dan tidak memberi ruang kepada mereka (Bahrain),” kata pemain pertahanan Malaysia, Shahrul Saad.

- Advertisement -

Shahrul berkata demikian dalam sesi sidang media menjelang perlawanan kedua Kumpulan E, Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Bahrain di Main Media Centre (MMC), Msheireb Downtown Doha, Qatar, malam tadi.

Ia turut dihadiri oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang menyeru skuad Harimau Malaya memburu gol awal.

“Sudah menjadi cara bola sepak Malaysia untuk berusaha mencari gol awal. Namun, dalam masa yang sama kita juga perlu faham dengan corak taktikal pasukan lawan,”  katanya,

Beliau mengakui bahawa bahrain adalah salah satu pasukan yang kuat di Asia dan saya jangkakan perlawanan yang sukar.

“Saya harap pemain beraksi dengan lebih bijak dan berani khususnya pada awal perlawanan,” ujarnya lagi.

Pertemuan Malaysia dan Bahrain dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan selepas tewas pada aksi pertama, Selasa lalu.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad menjelang jam 5.30 petang hari ini (10.30 malam, waktu Malaysia) dan akan disiarkan secara langsung melalui Sukan TV RTM, Astro Arena dan TV Okey.

Sebagai rekod, Malaysia tewas kepada Bahrain dalam tiga pertemuan sejak 2013 dengan pertemuan terakhir menyaksikan Bahrain menang 2-1 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2022.  HARAKAHDAILY  20/1/2024

- Advertisement -