Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim kolaborasi Bumitra, TH

- Advertisement -

SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (Bumitra Malaysia) buat kali ke-2 telah menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari semallam, 19 Januari hingga 21 Januari bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam, dan 9 pagi hingga 6 petang pada 21 Januari.  

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sejumlah 25 syarikat pelancongan bumiputera yang juga ahli persatuan Bumitra Malaysia telah diberi lesen oleh Lembaga Tabung Haji untuk mengendalikan pakej haji swasta musim ini.

“Karnival yang berlangsung selama tiga  hari ini bertujuan mendekatkan bakal jemaah dengan maklumat terbaharu termasuk mengenali latarbelakang 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) swasta, pakej-pakej yang ditawarkan bagi setiap PJH, harga pakej, hotel penginapan serta pembimbing jemaah ketika di tanah suci,” katanya.

Menurutnya, bakal jemaah boleh memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet masing-masing di samping mendapat gambaran jelas suasana serta persiapan sebelum dan semasa menunaikan haji terus dari setiap PJH.

“Kesemua syarikat yang dilesenkan memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman mencukupi serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445H/2024M di Movenpick Hotel & Convention Centre, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Tuan Syed Hamadah Syed Othman; Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Tuan Haji Harun KC Ahmmu. 

Sementara itu Mohd Na’im turut berkata, dalam suasana mencabar dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kerajaan telah mensyaratkan agar syarikat PJH yang terlibat ini menawarkan pakej haji ekonomi (Pakej Rahmah) di bawah RM50,000  bagi memberi lebih pilihan kepada bakal-bakal haji daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Tabung Haji  turut terdedah kepada faktor-faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

“Kos untuk menunaikan haji mengalamai peningkatan setiap tahun, khususnya kos-kos yang perlu ditanggung di Arab Saudi,” jelasnya

Tambahnya, bagi Musim Haji Tahun 1445H/2024, kos keseluruhan bagi seorang jemaah Haji adalah berjumlah RM 33,300.00. 

“Peningkatan ini adalah sebanyak 8 peratus daripada kos Musim Haji Tahun 1444H/2023 iaitu RM 30,850.00. 

“Kos ini telah meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji iatu penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di Tanah Air dan di Tanah Suci termasuk operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji, dan lain-lain kos operasi,” ujarnya. 

Beliau menyatakan, kerajaan juga telah bersetuju agar kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM13,356 seorang. 

“Bantuan kewangan haji secara bersasar turut diberikan kepada jemaah Haji Muasassah bagi golongan B40 dengan jumlah sebanyak RM 1,000.00. 

“Ini bererti dengan tambahan bantuan ini, jemaah Haji Muassasah B40 akan membayar kos haji sebanyak RM 12,356.00,” kongsi beliau.

Beliau turut memberitahu bahawa bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan Haji berjumlah RM19,944 seorang atau bersamaan dengan 60 peratus daripada kos haji. 

“Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. 

“Bakal haji kumpulan M40 akan menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji.

“Sementara, kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang,” katanya.  HARAKAHDAILY  20/1/2024

- Advertisement -