‘Ingin bertugas sebagai guru PASTI sampai hujung nyawa’

- Advertisement -

SEREMBAN: “Saya ingin bertugas sebagai guru PASTI sampai hujung nyawa,” ujar Ainin Sofia Hartini Tuah.

- Advertisement -

Hasrat murni tersebut diluahkan beliau usai menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAK) pada Majlis Konvokesyen Perguruan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia kali ke-14, di Nilai Spring, di sini hari ini.

Majlis bersejarah itu meraikan graduan Institit Latihan PASTI Malaysia dari seluruh Malaysia yang telah menamatkan sesi pengajian mereka setelah tiga tahun berhempas pulas berjuang.

“Ini hadiah untuk ayah dan ibu saya. Merekalah orang pertama yang memberi galakan dan perangsang pada saya untuk berkhidmat sebagai guru PASTI.

“Ramai juga bertanya, tak nak mohon kerja lain ke, dapat gaji lebih sikit dan bermacam lagi insentif lain, saya jawab, tak mahu, insya-Allah saya ingin bertugas sebagai guru PASTI sampai hujung nyawa,” ujar anak kedua dari lapan beradik ini bersemangat.

Menurut mantan graduan dakwah, Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Muhammad ini, jika soal wang dan keselesaan menjadi keutamaan mungkin beliau tidak memilih guru PASTI sebagai kerjaya, tetapi niatnya berkhidmat melebihi keinginan nafsu dan peribadi.

“Tak ramai anak muda sanggup berkhidmat sebagai guru PASTI kerana gajinya kecil, saya sedar hakikat itu sejak 2018 hingga hari ini saya bertugas tapi saya tak mahu berhenti kerana niat saya bertugas untuk membantu jamaah,” ujarnya.

Beliau bersama dua orang lagi rakannya dari PASTI Bentong iaitu Faridah Hanna Khamis, 46, dan Cik Kamalia Othman, 46, merupakan antara 49 graduan DPAK Institut Latihan PASTI Malaysia, Pahang terlibat dalam konvokesyen membabitkan seramai 591 orang graduan dari seluruh Malaysia.

Muallimah Siti Aisyah Ishak dari PASTI Al-Qawiyyul Amin, Bera juga turut dinobatkan sebagai salah seorang guru PASTI cemerlang dan dianugerahkan Anugerah Presiden. – HARAKAHDAILY 20/1/2024

- Advertisement -