Permohonan lulus dengan syarat sokong kerajaan?

Shahril Azman Abd Halim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Enam permohonan dikemukakan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Jerantut, Razak Daud kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diluluskan dengan bersyarat iaitu rakyat perlu menyokong kerajaan hari ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim menyifatkan tindakan Wan Rosdy itu adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah politik.

“Inilah yang dinamakan penyalahgunaan kuasa dan rasuah politik, menggunakan duit kerajaan, agensi kerajaan kemudian kempen rakyat supaya sokong parti Umno Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya sesiapa yang memerintah, menjadi tanggungjawab dia untuk mengurus kewangan kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya dalam satu hantaran video di TikTok, hari ini.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pahang memberi contoh, ketika PAS tidak memerintah di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, parti itu tidak dapat memberikan geran kepada rakyat di negeri terbabit.

“Namun selepas PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menjadi kerajaan di Kedah, di Perlis, di Terengganu, di Kelantan kita beri bantuan kepada rakyat tak ada pula kita kempen rakyat supaya sokong parti PAS dan PN.

“Tetapi BN secara terang-terang menyalahgunakan kuasa, rasuah politik, guna duit kerajaan, guna agensi kerajaan kemudian kempen rakyat supaya sokong Umno dan BN yang membentuk kerajaan hari ini dengan DAP,” katanya.

Terdahulu, Razak mengemukakan enam permohonan kepada Wan Rosdy yang membabitkan pembinaan jambatan baru, naik taraf tandas masjid, dewan terbuka, penukaran bumbung sekolah agama, padang bola dan penambahbaikan literasi.

Permohonan itu dibuat Razak ketika berucap pada majlis penyerahan kelulusan skim tanah rakyat dan suratan hak milik kepada 1,888 penerima yang disampaikan oleh Wan Rosdy di pekarangan masjid Felda itu.

Wan Rosdy kemudiannya ketika berucap pada majlis sama mengumumkan kelulusan untuk semua permohonan itu yang dianggarkan berjumlah RM1 juta, namun secara bersyarat.

“Insya-Allah rakyat semakin cerdik kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, bagi gula kacau, bagi duit ambil, tetapi mengundi PAS PN, kita tolak Umno BN DAP,” kata Shahril. – HARAKAHDAILY 20/1/2024

- Advertisement -