MAIK peruntuk RM100,000 laksana Hospital Mesra Ibadah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk melaksanakan program Hospital Mesra Ibadah (HMI).

- Advertisement -

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong selari dengan usaha menjadikan HRPZ II sebagai hospital pertama di Kelantan mendapat pensijilan HMI.

Menurut beliau, HMI juga selari dengan teras dan hasrat utama MAIK dalam memperkasa pembangunan dan pelaksanaan program dakwah serta umat yang efektif melalui penggalakan peningkatan penghayatan Islam.

“Peruntukan berkenaan disalurkan kepada Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah HRPZ II, bagi mewujudkan persekitaran mesra ibadah di samping membolehkan beberapa aktiviti dakwah kesihatan dapat dilaksanakan.

“Antaranya, penyediaan ruangan HMI di setiap wad dan unit yang berfungsi sebagai rujukan informasi ibadah, doa dan amalan-amalan penting kepada para pesakit, waris serta anggota kesihatan,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan Program HMI HRPZ II, di sini, semalam.

Beliau turut menyampaikan replika cek Sumbangan Program HMI dan menyaksikan simulasi tayamum dan wuduk (foto atas) oleh pesakit di HRPZ II, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan II HRPZ II, Dr Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa HMI HRPZ II.

Tambah beliau, HMI bertepatan dengan misi MAIK dalam memartabatkan Islam dan meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran umat melalui usaha dakwah, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat secara terancang, inovatif serta berterusan.

Bagaimanapun, MAIK berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik bersama HRPZ II dalam memastikan segala aktiviti-aktiviti dakwah kesihatan di bawah HMI dapat dijalankan dengan lancar dan teratur demi kebaikan para pesakit, waris dan anggota kesihatan.

“Penyediaan kit dan troli ibadah pesakit merangkumi debu tayamum, botol spray wuduk, sejadah, al-Quran, telekung, tasbih serta buku-buku berkaitan.

“Promosi dan kempen kesedaran HMI dalam bentuk kain rentang, gegantung, poster serta risalah HMI yang diedarkan ke semua jabatan selain naik taraf surau-surau di dalam wad dan klinik untuk kemudahan pesakit, waris dan anggota kesihatan serta naik taraf sistem siar raya di surau utama HRPZ II,” katanya.

Selain itu katanya, menerusi HMI juga akan diadakan bengkel pengurusan ibadah pesakit untuk semua anggota kesihatan dan aktiviti keagamaan seperti ceramah dan kursus.

Katanya, HMI juga bertepatan dengan misi MAIK dalam memartabatkan Islam dan meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran umat melalui usaha dakwah, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat secara terancang, inovatif serta berterusan.

“Pihak MAIK berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik bersama HRPZ II demi memastikan segala aktiviti-aktiviti dakwah kesihatan di bawah HMI dapat dijalankan dengan lancar dan teratur demi kebaikan para pesakit,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -