Cabaran Islam digelar ekstremis di negara sendiri

Terdapat suara-suara yang melabelkan umat Islam di Malaysia sebagai golongan ekstremis, yang menyemarakkan lagi fenomena Islamophobia di negara ini. (FOTO HIASAN: 124 News)
- Advertisement -

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

[Surah Al-Baqarah: 120] yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Merujuk kepada ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa kaum Yahudi dan Nasrani atau lebih dikenali sebagai ahlul-kitab (kerana mereka mempunyai kitab al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada rasul mereka dahulu) akan sentiasa membenci dan menentang umat Islam

- Advertisement -

Lihatlah apa yang sedang menimpa umat Islam di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, serta Lubnan dan Syria yang diserang Zionis Israel, selain Yaman yang dibom oleh gabungan tentera Amerika Syarikat-Britain hanya kerana Yaman menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan merampas dan menghalang kapal-kapal yang ada kaitan dengan Zionis di Laut Merah.

Sepatutnya dengan kitab yang dikurniakan oleh Allah SWT, kaum Yahudi dan Nasrani menjadi lebih jujur dalam menyokong Islam (kerana dari kitab berkenaan mereka meraih pengetahuan tentang kebenaran Rasulullah SAW); tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka lebih jahat daripada kaum Quraisy yang tidak diturunkan kitab tersebut.

Dalam ayat tersebut, jelas penegasan Allah SWT bahawa kedua-dua kaum tersebut tidak sesekali redha atau bersetuju pendapat dengan umat Islam tetapi lebih suka agar mengikut agama mereka.

Dunia tanpa sempadan, langit terbuka

Ini terbukti pada era sekarang ini, di zaman yang penuh dengan projek-projek mereka untik menjadikan dunia tanpa sempadan dan langit terbuka, iaitu era globalisasi yang telah berjaya dan mencapai sasarannya dalam melemahkan umat Islam.

Merujuk kepada abuanasmadani.com, maksud sebenar globalisasi mengikut ulamak Islam yang masyhur ialah ‘orang kafir, orang barat, Yahudi dan Kristian; mahu kamu orang Islam ikut apa saja yang mereka buat! Makan apa yang mereka makan, pakai apa yang mereka pakai, gaya hidup ikut apa yang mereka buat!’

Ia jelas terbukti daripada cara hidup sebahagian umat Islam ketika ini khususnya golongan muda baik dari segi kelakuan, pertuturan, pergaulan, pakaian, makanan yang dimakan dan lain-lain yang lebih berkiblatkan kepada Barat dan Zionis yang kononnya gah dan menjadi trend terkini.

Justeru, impaknya di Malaysia adalah timbul situasi dan kedudukan agama Islam yang saban hari bagai dipandang enteng oleh segolongan pihak telah menimbul cabaran baharu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 3(1) telah termaktub Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan yang harmoni. 

Namun sekarang ini,  tidak dapat dinafikan agama Islam di Malaysia bagai semakin dipandang enteng oleh segelintir pihak.

Ia seakan dicabar dari hari ke hari, malah ada suara-suara yang melabelkan umat Islam di negara ini sebagai golongan ekstremis. Ia menyemarakkan lagi fenomena Islamophobia.

Usaha agar Islam dilihat tertutup

Saban hari pasti ada usaha-usaha untuk menjadikan agama Islam dilihat sebagai tertutup khusus hanya pada ritual keagamaan dan ibadah.

Sedangkan kita tahu Islam itu bersifat syumuliyah (menyeluruh) dan meliputi segenap aspek kehidupan. 

Namun apabila dunia semakin moden dan teknologi semakin canggih, perkara-perkara seperti ‘amar makruf nahi mungkar’ dilihat janggal malah dianggap ekstrem oleh sesetengah pihak.

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh ia merupakan salah satu tuntutan agama sebagaimana dalil daripada surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan manusia yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Perlu diingat juga ‘amar makruf nahi mungkar’ bukan hanya terletak tanggungjawabnya pada golongan agamawan atau ustaz-ustazah sahaja. Malah ia sememangnya tuntutan untuk setiap individu Muslim. 

Namun, apa yang dikesali ialah apabila ia tidak lagi dapat diterima oleh sebahagian besar penganut Islam itu sendiri.

Hadis Rasulullah SAW tentang tuntutan mencegah kemungkaran:

“Dari Abu Sa’id Al Khudri R.A berkata: “Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka ubahlah (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.”(Riwayat Muslim)

Tidak dinafikan menyuruh untuk membuat baik itu mudah tetapi menegur perkara yang salah itu susah lebih-lebih lagi di era masa kini. 

Jarum halus musuh Islam

Namun, andai kita sebagai individu Muslim tidak dapat melakukan bahagian yang selemah-lemah iman iaitu membenci perbuatan mungkar sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas, maka apa lagi yang boleh diharapkan daripada umat Islam kini?

Kita mungkin tidak nampak jarum halus permainan musuh-musuh Islam yang dicucuk setiap hari namun kita boleh nampak kesannya dengan melihat keruntuhan akhlak dan sahsiah generasi masa kini terutama golongan belia. 

Betapa alpanya umat Islam sekarang, yang sedang tenggelam dengan ‘bah’ atau ‘taufan’ hedonisme (hiburan melampau).

Memetik sebahagian daripada petikan penulisan karya Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan Al- Buti yang berjudul,  Solusi Islam Buat Para Pemuda, beliau menyatakan bahawa kebanyakan masalah belia dan masyarakat masa kini adalah berpunca daripada sifat suka menurut apa yang dilakukan Barat secara membuta tuli.

Kecenderungan masyarakat masa  kini terutama golongan belia yang hanya menerima apa yang disajikan di hadapan mereka dan tidak berniat untuk berusaha mengkaji dengan lebih lagi menjadi punca umat Islam mudah diinjak dan dimanipulasi oleh golongan yang ingin melihat keretakan masyarakat Islam.

Natijahnya, musuh-musuh Islam akan mudah untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan umat Islam itu sendiri. Parahnya lagi apabila kita hanya tengadah ketika sudah pun terduduk.

Kesimpulannya, melihat pada kegetiran situasi yang seakan mengancam kedudukan agama Islam sekarang, kita seharusnya tidak boleh bermudah-mudah menutup mata dan menganggap ianya hanya perkara biasa. 

Hal ini adalah kerana ia juga bertitik tolak pada maruah bangsa dan agama kita. Tenatnya generasi sekarang kerana banyak mengikut hawa nafsu dan hanya berpegang pada sesuatu perkara.

Tuan Nur Amni Faiqah Tuan Mahmud Fikri

Tuan Nur Amni Faiqah Tuan Mahmud Fikri ialah pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -