Tutup aurat tidak halang aktiviti sukan

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan, Wan Badariah Wan Saad, menegaskan bahawa menutup aurat dengan sempurna tidak menghalang individu muslim untuk aktif dalam bersukan.

- Advertisement -

Sebaliknya kata beliau ia menunjukkan individu berkenaan boleh mengekalkan nilai-nilai keagamaan sambil menjalani gaya hidup sihat.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian program sukan di D’Futsal Centre, Batu 2, di sini, semalam.

“Ini menunjukkan bahawa seseorang boleh mengekalkan nilai-nilai keagamaan mereka sambil menjalani gaya hidup sihat dan aktif melalui sukan,” kata beliau.

Wan Badariah yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Padang Besar, turut memberi pesanan mengenai adab beriadah yang menepati syarak.

Dalam program tersebut, pasukan Imtiyaz Work meraih tempat pertama, diikuti Kelab Bola Sepak (FC) Petal tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mata Ayer FC.

Kejohanan futsal anjuran PEMADAM itu diadakan bagi memupuk kesedaran dan kecergasan dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan peserta bahawa kejayaan yang diraih bukan milik pemain semata-mata, tetapi hasil kerjasama semua pihak termasuk pihak pelaksanaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Muhammad Azmir Azizan dan Adun Beseri, Haziq Asyraf Dun. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -