Pemuda PAS Terengganu sokong tindakan MBKT

Ustaz Hamdi Harun
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyokong penuh tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengeluarkan arahan penutupan operasi premis perniagaan dalam kawasan pentadbirannya bagi menghormati solat Jumaat.

- Advertisement -

Naib Ketua DPPNT, Ustaz Hamdi Harun berkata, tindakan MBKT yang mengarahkan penutupan operasi perniagaan selama dua jam bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bermula 1 Januari lalu mesti disokong semua pihak.

“Penutupan operasi melibatkan pasar raya, restoran dan kedai makan pada waktu tersebut perlu mendapatkan kerjasama yang padu dari seluruh rakyat Terengganu bagi menghormati hak umat Islam yang wajib menunaikan solat Jumaat pada waktu tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, MBKT mengesahkan premis perniagaan bukan Islam tidak terbabit dalam penguatkuasaan penutupan premis selama dua jam pada hari Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif tampil memberikan penjelasan bahawa ia hanya melibatkan semua pasar raya, restoran, kedai makanan atau gerai makan Muslim termasuk restoran makanan segera.

Hamdi berkata, sekiranya ada pelancong dari luar Terengganu yang ingin membuat urusniaga pada hari Jumaat, DPPNT mencadangkan agar dapat membuat perancangan dengan sebaiknya pada waktu tersebut agar percutian ke negeri ini dapat berjalan dengan sebaiknya.

“DPPNT menyeru kepada semua rakyat Terengganu dan pelancong ke negeri ini dapat menyambut baik usaha murni ini bagi memastikan Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -