PKM adalah pengganas bukannya pejuang tanah air

- Advertisement -

BEKAS Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM), Abdullah CD atau nama sebenarnya Che Dat Anjang Abdullah telah meninggal dunia kelmarin. Allahyarham yang berasal dari Lambor Kanan, Parit, Perak meninggal dunia jam 9:29 pagi, waktu Thailand pada usia 101 tahun. Beliau meninggal dunia di Kampung Perdamaian Sukhirin, Narathiwat, Thailand.

Abdullah CD adalah pengasas Regimen ke-10 yang ditubuhkan 21 Mei 1949, regimen ini berpayung bawah MNLA atau Tentera Pembebasan Rakyat Malaya, iaitu sayap militan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM rata-rata dianggotai masyarakat Cina. Setiausaha Agung PKM Chin Peng mengusahakan penubuhan regimen ini untuk menarik sokongan orang-orang Melayu bagi menyertai perjuangan PKM. Mujurlah ia tidak dapat sambutan dan hanya segelintir kecil yang menyokongnya.

- Advertisement -

Selepas Merdeka 1957, kesemua sayap militan PKM kekal berkonfrontasi dengan kerajaan. Bagaimanakah kita boleh terima mereka sebagai pejuang nasional atau pembebasan sedangkan walau negara telah Merdeka, dan penjajah British telah pergi, mereka masih bertempur dengan kerajaan tanah air sendiri. Akibatnya ramai anak-anak bangsa khasnya anggota tentera dan Polis terkorban angkara keganasannya.

Semasa negara telah Merdeka, PKM bukannya meletak senjata tetapi memilih untuk terus bermusuhan dengan negara. Paling malang sehingga membunuh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 8 Jun 1974. Dan pada 14 November 1975, mereka menembak mati Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong.

Kedua-dua wira negara kita ditembak mati dalam kenderaan masing-masing semasa menjalankan tugas untuk negara.

Ramai tidak dapat menerima bahawa PKM termasuklah Regimen ke-10 ini merupakan pejuang negara. Hakikatnya mereka pengganas dan pengkhianat yang terus memperkosa negara termasuk membunuh dan mencederakan anak-anak bangsa walau negara telah Merdeka.

Meski begitu ada juga yang mahu menjulang dan menghargai perjuangan mereka ini. Terimalah kenyataan bahawa mereka itu berjuang untuk menegakkan sebuah negara Komunis di tanah air.

Allahyarham Abdullah CD dan Regimen ke-10 nya tidak terkecuali. Mereka juga terlibat membunuh dan mencederakan anak-anak bangsa. Antara catatan Allahyarham:

“Semua rancangan berjalan dengan baik. Satu regu tempur (Regimen 10) dipimpin Junid telah dibentuk. Tugasnya ialah melakukan pertempuran di garisan luar kepungan musuh. Regu tersebut telah berjaya menyusup ke kawasan luar dari garis kepungan musuh. Mereka melakukan satu serangan hendap ke atas sebuah jeep di sebatang jalan raya. Dalam serangan ini, regu tersebut telah membunuh beberapa pegawai tinggi tentera yang berada dalam jeep tersebut. Ini memberikan tamparan besar kepada askar yang sedang berada di dalam hutan. Selepas serangan itu, Badan Intelijen Bersama segera menamatkan kempen serangannya yang baru berlangsung selama sebulan.” (Catatan Abdullah CD mengulas “Operasi Cahaya Bina 1977”)

Ini catatan tahun 1977, bukannya semasa negara menuntut kemerdekaan tetapi setelah 20 tahun Merdeka!

Walaupun pada tahun 1989 PKM telah menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan, sejarah membuktikan bahawa mereka bukannya berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah, mereka sebenarnya berjuang untuk ideologi Komunis yang mereka anuti. Mereka sanggup mengangkat senjata terhadap penjajah British dan mereka juga telah mengangkat senjata terhadap Kerajaan Malaya dan Malaysia sehingga ramai rakyat yang terkorban.

Bayangkan kiranya mereka menang, apalah nasib negara tercinta?

Selepas perjanjian damai, ramai mereka telah menyertai masyarakat sama ada di Malaysia atau memilih tinggal di Thailand. Adakah mereka telah menyesal dan meninggalkan fahaman yang mereka anuti sebelum ini?

Mendiang Chin Peng yang merupakan Setiausaha Agung mereka dalam bukunya: “Alias Chin Peng – My Side of History (2003)” menyatakan:

“I do not regret having fought for what I considered and still consider a just cause.”

(Saya tidak menyesal menyertai perjuangan yang saya anggap malah masih anggap sebagai satu perjuangan yang sebenar)

“I am unrepentant of this belief.”

(Saya tetap yakin pada fahaman ini)

Mereka bukan pejuang kebangsaan atau nasionalis tetapi mereka sebenarnya pengganas atau ‘terrorist’.

(Alfatihah buat Allahyarham Abdullah CD) 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.