Penggal tetap kerajaan: Zahid sendiri langgar ‘budaya’ Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan telah melanggar ‘budaya’ Umno apabila mencadangkan akta baru digubal bagi memastikan kerajaan yang dipilih pada PRU kekal bagi satu penggal penuh. 

Pengkritik politik dan ekonomi, Hezri Sardi berkata, selama ini parti keramat orang Melayu itu mengawal pembubaran Parlimen di mana Zahid sendiri sejak akhir tahun 2021 mendesak Dewan Rakyat dibubarkan awal.

- Advertisement -

Menurut beliau, banyak kali juga para pemimpin utama Umno membuat kenyataan sedemikian kerana beria-ia mahukan PRU awal supaya parti itu dapat menang besar dalam PRU15 walaupun faktanya paling teruk dalam sejarah.

“Belum pernah ada lagi mana-mana negara yang buat undang-undang sebegini. Tapi kalau akta penggal Parlimen tu adalah. Di Malaysia, PRU untuk memilih wakil Dewan Rakyat dibuat setiap 5 tahun, tapi kita hanya ada tempoh maksimum. 

“Maknanya, kalau genap 5 tahun selepas PRU sebelumnya, maka Dewan Rakyat terbubar secara automatik. PRU15 sebelum ini pada 19 November 2022. Maknanya, Dewan Rakyat secara automatik terbubar pada 19 November 2027. 

“Walau bagaimanapun, PRU14 pada 9 Mei 2018. Maknanya, jika patuh 5 tahun, PRU15 patut diadakan selepas 9 Mei 2023. Tapi PRU15 dicepatkan 6 bulan!” ujarnya yang juga bekas Ketua Wira PERKASA Bahagian Hang Tuah Jaya.

Bendahari Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka itu juga berkata, jika ‘disiasat’ dalam Google dan media sosial, semua parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kerajaan sekarang, menentang PRU awal.

“Kita ada kewajipan untuk membina masyarakat yang waras dan berilmu. Memutar belit adalah bercanggah dengan kewajipan itu. Oleh itu, mesti dibezakan antara pembubaran kerajaan dan pembubaran Parlimen. 

“Yang ada di negara lain adalah akta menghalang pembubaran Parlimen. Yang tiada ialah akta menghalang pembubaran kerajaan. Kalau ada akta pembubaran kerajaan, maka negara lain akan terang-terang cop Kerajaan Malaysia sebagai diktator! 

“Jika kita siasat di negara-negara lain terutamanya negara maju, pembubaran kerajaan adalah perkara biasa. Dalam satu penggal selalunya ada lebih daripada satu kerajaan. Kita saja yang dimomok kononnya pembubaran kerajaan tu jahat!” ujarnya.

Bekas Setiausaha Pemuda BERSATU Bahagian Jasin itu memberitahu, pada tahun 2022 beliau ada memasukkan Akta Penggal Tetap Parlimen ini sebagai salah satu manifesto untuk satu parti politik yang menang lebih banyak kerusi daripada Umno. 

Walau bagaimanapun menurut Hezri, sebenarnya jika disusun dalam urutan keutamaan, terdapat perkara lain yang lebih penting berbanding menetapkan penggal Parlimen iaitu antaranya berkenaan pendanaan politik.

Juga katanya, berkenaan peruntukan kerajaan untuk pentadbiran parti-parti politik dan mengubah sistem pilihan raya ‘First Past The Post‘ (FPTP) yang diwarisi daripada penjajah dan tidak pernah diubah itu. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -