Anwar hilang sokongan jika arah Presiden PAS disiasat

Sebaliknya tidak arahkan kepada kes pemimpin DAP sentuh perundangan Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan telah membuat perkiraan yang kurang bijak sekiranya beliau mengarahkan polis menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menulis pandangan tersebut sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai kertas siasatan ke atas Ahli Parlimen Marang itu.

- Advertisement -

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut dinyatakan dalam kenyataan sama pada 8 Januari itu di mana kertas siasatan terhadap mereka telah dikemuka kepada Peguam Negara, Dato’ Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

“Saya tidak fikir seorang yang secerdik Dato’ Seri Anwar dan berpengalaman seperti beliau akan mengarah polis untuk menyiasat kenyataan seperti itu untuk menuduh Presiden PAS itu untuk pihak polis membantu menguatkan kedudukan politik Anwar pada masa ini,” ujarnya.

Menurut beliau, daripada kenyataan Razarudin, kesalahan Tuan Guru Abdul Hadi bukanlah rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan kerugian kepada negara. 

Sebaliknya beliau memetik Ketua Polis Negara itu berkata, ia susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden PAS yang mengulas mengenai parti DAP di mana siasatan menyatakan mengandungi unsur perkauman dan boleh mencetus kegusaran awam.

“Antara intipati kenyataan itu adalah DAP berhasrat mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang dianuti oleh Barat.

“Selain itu, antara intipati lain yang diterbitkan menerusi laporan itu adalah dakwaan Hadi bahawa ‘DAP berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam’,” kata Razarudin dipetik Tun Hamid.

Katanya, beliau tidak mahu mengulas mengenai merit kes itu kerana tidak tahu mengenai keterangan yang ada dan Peguam Negara sedang menimbang sama ada Tan Sri Abdul Hadi patut dituduh di mahkamah. 

“Cuma, saya ingin mengemukakan dua soalan untuk semua pembaca berfikir dan membuat keputusan sendiri. Soalannya, jika apa yang dikatakan oleh Tan Sri Abdul Hadi itu dikatakan terhadap Umno, adakah ia menjadi satu kesalahan? 

“Bagaimana apabila seorang Ahli Parlimen DAP menuntut jawatankuasa yang menentukan Hukum Syarak hendaklah mempunyai seorang bukan Islam sebagai ahlinya sedangkan di Malaysia Hukum Syarak hanya terpakai kepada orang Islam?” soalnya.

Menurut beliau, kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu adalah berlainan daripada kesalahan yang dikatakan dilakukan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tulisan seperti itu, jika ia merupakan satu kesalahan pun, tidaklah sama beratnya dengan kesalahan-kesalahan yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir dan (bekas Menteri Kewangan) Tun Daim Zainuddin. 

“Menghukum Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang atas kesalahan ini tidak akan menarik sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Orang Melayu akan menuduh Anwar yang bertanggungjawab menggerakkan penyiasatan kes tersebut untuk mendiamkan Presiden PAS itu.

“(Iaitu) mengenepikan beliau daripada arena politik dan melemahkan PAS. Ini terutama sekali apabila ia berlaku pada masa yang sama dengan Langkah Dubai. Dato’ Seri Anwar lebih baik menjauhkan diri daripadanya melainkan beliau memang terlibat,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -