RUU cegah tukar kerajaan: Zahid mahu ‘Umnokan’ negara pula?

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar satu Rang Undang-undang (RUU) digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.

- Advertisement -

Demikian ditegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini

Katanya, menurut laporan media, Zahid yang juga Presiden Umno berkata, RUU itu perlu bagi mengelak berulangnya ‘kesengsaraan rakyat’ susulan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal selepas PRU ke-14.

Beliau menambah, Zahid juga dilaporkan berkata, kerajaan yang terbentuk dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong hendaklah kekal untuk satu penggal penuh dan apa-apa perubahan sebaliknya yang berlaku adalah ‘tidak baik untuk negara dan rakyat’.

“Adalah menjadi suatu perundangan dan amalan yang telah selesai bahawa pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di negara ini, tetapi semua negara yang lain dengan syarat pihak-pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti yang diterimanya sama ada di Parlimen atau melalui saluran-saluran lain yang dibenarkan oleh undang-undang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Menurutnya lagi, perlembagaan adalah sangat jelas dalam hal ini dan telah dimaklumi semua bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa lain.

“Ia juga merupakan syarat asasi bagi memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menurut budi bicara Baginda seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

“Tegasnya seseorang Perdana Menteri yang dilantik selepas PRU atau bila-bila masa lain tetapi kemudiannya hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat secara semula jadi sudah kehilangan keabsahan jawatannya itu dan hendaklah meletakkan jawatan bersama seluruh anggota Jemaah Menterinya melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata Takiyuddin.

Maka, jelasnya dalam keadaan itu Yang di-Pertuan Agong hendaklah menggantikan Perdana Menteri tersebut dengan pihak yang terbukti mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Beliau menambah, PAS percaya peruntukan Perlembagaan berhubung perkara itu dan amalan berkaitnya di serata dunia adalah selari dengan idea demokrasi itu sendiri, iaitu sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah selagi ia menikmati sokongan majoriti.

Justeru, katanya sebarang usaha untuk menyekat atau memandulkan prinsip teras itu, sama ada melalui undang-undang baharu seperti yang dicadangkan atau tindakan-tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.

“PAS tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Zahid membuat cadangan yang begitu novis, terutama sekali selepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mendakwa bahawa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?

“Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia untuk membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden Umno walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti tersebut?” ujarnya lagi.

Takiyuddin juga bertanya, setelah berdepan konflik berterusan dalam Umno susulan tindakan itu, apakah Zahid kini berasa layak untuk mengheret negara ke dalam krisis sama dengan berselindung di sebalik kata-kata hikmat ‘kepentingan rakyat dan negara’ pula selepas menggunakan helah keramat ‘kepentingan ahli dan parti’ sebelum ini. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

- Advertisement -