Kekuatan PAS: Amilin berkualiti, penyokong berkuantiti

Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa
- Advertisement -

SERDANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, PAS akan dapat diperkukuhkan lagi sekiranya dapat mewujudkan amilin yang berkualiti dan penyokong yang berkuantiti.

- Advertisement -

Menurut beliau, itu adalah perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian oleh PAS memandangkan ia adalah sebuah badan politik dan dakwah sekali gus.

“Secara umumnya apa yang kita boleh dapat daripada Liqa Fikri yang kita adakan pada tahun ini jadi memberi gambaranlah bahawasanya kekuatan kita itu bergantung kepada dua iaitu daripada kuantiti dan juga kualiti. Kedua-duanya adalah benda yang besar. 

“Apatah lagi kuantiti yang mana ia bergantung kepada kemenangan. Kita nak menangkan Islam ni perlu adanya penyokong-penyokong dan juga pendukung-pendukung dalam gerakan Islam itu sendiri, terutama kitalah, jemaah PAS kita, begitu juga PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya.

Tambah beliau, selain dari sudut kuantiti sokongan atau undi, PAS juga harus mempunyai kuantiti dari segi amilin untuk bekerja, kewangan, jumlah cawangan.

Kata Ustaz Fairuz lagi, dalam masa yang sama usaha juga harus dilakukan bagi meningkatkan kualiti jentera dan pentadbiran PAS bagi meraih kemenangan.

“Kalau ramai pun sekiranya tidak ada kualiti dari sudut pentarbiahan, dari sudut skill, ataupun dari segala sudut, tidak ada gunanya juga. Maka saya katakan dua-duanya adalah penting. Itu yang kita dapat hari ni,” ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol berkata demikian ketika ditemui di program Liqa’ Fikri anjuran Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Pusat yang berlangsung di City Meridian Convention Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu di dalam program tersebut, Naib Presiden PAS yang juga pengerusi lajnah tersebut, Datuk Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya ada menyentuh tentang perkara itu di dalam pembentangan kertas kerja.

Tambah Ustaz Fairuz, antara keutaamaan beliau di peringkat kawasannya adalah bagi memperkukuhkan jentera pemuda dan muslimat muda bagi membolehkan program dijalankan dengan baik.

Katanya, kemenangan beliau di DUN Serting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lepas adalah disebabkan undi muda namun jumlah amilin dari golongan muda yang beliau ada sekarang masih belum memadai.

Jelasnya lagi, untuk melahirkan amilin yang berkualiti maka PAS tidak dapat lari daripada menekankan kepada proses pentarbiahan meliputi semua peringkat dan bidang tugas.

“Dan alhamdulillah di peringkat saya pun telah memulakan sesi-sesi tarbiyah seperti usrah kita telah mulakan. Insya-Allah kita akan menyusun perkara-perkara yang bersangkutan dengan tarbiah ni.

“Dan selepas daripada ini kita akan melancarkan tamrin di peringkat kawasan insya-Allah. Yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita mahu melahirkan amilin kita berkualiti. Dan termasuklah pemuda,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

- Advertisement -