Tiada keperluan rumah pelacuran untuk pekerja asing

Kembali kepada solusi Islam

- Advertisement -

TULAR dan heboh mengenai satu kenyataan dari seorang artis menerusi siaran podcast di mana terdapat pendapat peribadi artis tersebut mengenai keperluan rumah pelacuran bagi pendatang asing dalam negara ini agar mengelakkan dari berlaku jenayah rogol ke atas wanita tempatan.

Kenyataan tersebut nampak seakan mahu memelihara keselamatan dan kehormatan wanita tempatan namun dalam masa yang sama amat bahaya kerana seakan menghalalkan perkara yang haram di dalam Islam. Malah apabila melihat keperluan rumah pelacuran sebagai alternatif bagi pendatang asing dalam melampiaskan nafsu syahwatnya memberikan gambaran bahawa ‘pelacuran’ dalam sesebuah negara adalah perkara normal.

- Advertisement -

Rumah pelacuran adalah bersalahan dengan agama Islam selaku agama Persekutuan malah ia juga sangat bertentangan dengan nilai budaya negara kita. Sekalipun ia ditujukan kepada pendatang asing yang bukan beragama Islam namun menyatakan keperluan rumah pelacuran akan menghancurkan negara dengan isu sosial dan gejala seks bebas dengan impak negatif seperti merosakkan imej negara, tersebarnya penyakit hasil seks bebas serta merosakkan akhlak dan banyak lagi.

Islam amat memandang serius hal mengenai perbuatan seks bebas ini yang termasuk dalam kategori zina. Malah Islam menyatakan perbuatan zina merupakan perkara yang keji dan seburuk-buruk jalan. 

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”

(al-Isra’: 32)

Membenarkan status keperluan pelacuran hakikatnya menunjukkan status penghinaan kepada maruah wanita dan lelaki itu sendiri kerana seakan mengiyakan manusia itu tunduk dan turut nafsu seksual secara membuta tuli. Sedangkan Islam mendidik bahawa keinginan syahwat termasuk nafsu seksual adalah fitrah dan ia mesti dikawal dan disalurkan mengikut peruntukan syariat.

Dalam Islam jika seorang Muslim yang tidak mampu berkahwin maka cara alternatif yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W ialah berpuasa kerana dengan berpuasa menjadikan seseorang itu menahan diri dengan ‘terpotongnya’ keinginan syahwat yang bergelora. Bagi kalangan bukan-Islam pula, sekalipun mereka tidak terikat dengan perintah agama Islam namun tidaklah boleh menjadikannya sebagai alasan untuk dibenarkan aktiviti pelacuran. Malah manusia yang normal dan matang akan berusaha mengawal keinginan dirinya dengan pelbagai cara antaranya menyibukkan diri dengan melakukan pelbagai perkara bermanfaat dalam kehidupan seharian. 

Terkini, artis tersebut telah mengeluarkan kenyataan maaf namun dalam masa yang sama mengakui kontroversi yang berlaku disebabkan kenyataan tersebut adalah bagi menarik tontonan ke saluran podcast tersebut, namun perlu ingat bahawa sebagai seorang yang beragama Islam tidak boleh dan tidak wajar menjadikan agama sebagai bahan gurauan yang melampaui batas seperti ‘menghalalkan perkara yang haram’. 

Setiap artis yang beragama Islam perlu lebih peka dengan sensitiviti agama. Usah menjadikan agama sebagai bahan ‘bad marketing’ dalam menaikkan tontonan. Kaedah Macheville iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak diterima sama sekali dalam Islam. Apa pun, mengakui kekhilafan pada pendapat yang terlanjur adalah baik dan dipuji hanya untuk langkah yang lebih berhati-hati wajar dalam hal hal agama, eloklah dirujuk dengan pihak berautoriti terlebih dahulu. Ini langkah yang lebih baik dan selamat.

USTAZ HAJI NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -