Rumah pelacur: Nasihat untuk Rosyam Nor dari Pemuda PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan artis terkenal, Datuk Rosyam Nor mungkin kerana terlalu bersemangat mengupas isu, telah terlupa bahawa beliau sedang memberikan pandangan yang tersangat bahaya. 

“Seolah-olah masyarakat sudah hilang arah tuju untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan sehinggakan menyuruh masyarakat memilih dosa untuk tidak melakukan dosa yang lain. Ini kerana, analogi yang diberikan sangat tidak relevan. 

- Advertisement -

“Kekangan terhadap aktiviti pelacuran akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya. Hakikatnya, membenarkan aktiviti pelacuran akan lebih menggalakkan lagi jenayah seksual dalam kalangan masyarakat.

“Sedarkah salah satu faktor utama yang menyebabkan jenayah seksual semakin tinggi adalah dengan keterbukaannya internet,” ujar kenyataan itu menegaskan pendapat artis tersebut mesti ditolak.

Rosyam menyatakan pendapat bahawa rumah pelacuran adalah keperluan untuk pekerja asing di Malaysia ‘melepaskan nafsu’ ketika ditemubual menerusi podcast Hitam Putih, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, kurangnya pantauan terhadap penggunaan internet dalam kalangan generasi muda membuatkan bahan pornografi dapat diakses dengan mudah, seterusnya, ketagihan ini akan mengundang kepada masalah sosial yang lebih parah.

Mereka mengemukakan kajian yang dijalankan oleh pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad pada tahun 2021 mendapati 75 peratus remaja Malaysia pernah menonton video atau melihat gambar pornografi. 

“Ini suatu statistik yang menakutkan! Pornografi adalah suatu penyakit! Islam adalah agama penyelamat ummah. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Namun malangnya, ketagihan pornografi tidak dianggap sebagai suatu penyakit berbahaya oleh kebanyakan pihak. 

“Apabila dikategorikan sebagai penyakit, ramailah bijak pandai akan mengkaji penawarnya. Tetapi apabila tidak dinilai sebagai penyakit, ia seolah-olah tiada penawar. Potensi bisnes berbillion ringgit membuatkan manusia gelap mata untuk mencari penawarnya.

“Kembalilah kepada Islam. Islam memberikan manusia solusi terbaik meneruskan kehidupan. Islam menawarkan perkahwinan untuk menyelamatkan manusia daripada nafsu yang meliar. 

“Islam menawarkan ibadah puasa kepada mereka yang tidak mampu berkahwin. Islam dapat menyelesaikan segala masalah manusia. Islam adalah cara hidup,” ujar kenyataan itu mengemukakan solusi. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -