Mempopular Langkah Dubai, ‘bagai bulan jatuh ke riba’

Aireroshairi Roslan
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Langkah Dubai yang dipopularkan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) diibaratkan bagai ‘bulan jatuh ke riba’.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, tindakan mempopularkan Langkah Dubai menciptakan satu gelombang dari rakyat untuk menukar pemerintahan hari ini.

“Angin tiada, ribut tiada. Tiba-tiba kecoh Langkah Dubai. Kononnya satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan. Kononnya ada ahli parlimen yang nak beralih sokongan kepada PN, dan kononnya PMX telah hilang majoriti.

“Entah Langkah Dubai merupakan agenda yang wujud ataupun tidak, tapi langkah kerajaan mempopularkan Langkah Dubai mewujudkan satu gelombang dari rakyat yang cenderung untuk menukar kerajaan sedia ada.

“Rata-rata netizen mengharapkan pertukaran kerajaan berlaku akibat daripada pelbagai tekanan yang dihadapi rakyat. Harga barangan asas yang semakin meningkat, barang keperluan asas yang sentiasa ‘hilang’ dari pasaran termasuk telur yang dijual merupakan telur yang telah tamat tempoh,”katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, semalam.

Kata Aireroshairi, corak pemerintahan yang dipenuhi ancaman kepada hak kebebasan bersuara, hubungan antara kaum dan agenda Malaysian Malaysia juga menambah resah rakyat.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata, pencapaian negeri-negeri di bawah pemerintahan PERIKATAN NASIONAL (PN) terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Persepsi kerajaan gagal yang cuba dilabelkan kepada negeri-negeri PN tidak mampu lagi dicanang.

“Capaian maklumat terbuka menjadikan rakyat celik mata tentang kemampuan PN menguruskan khazanah rakyat.

“Integeriti yang tinggi yang ditunjukkan oleh kepimpinan PAS setelah 60 tahun dalam arena politik menjadi ‘x-factor’ yang menyebabkan PAS paling sesuai menjadi pengganti,” katanya.

Menurut beliau, apabila J-KOM mempopularkan Langkah Dubai, rakyat terus menyambut langkah tersebut dengan harapan yang tinggi.

“Jadilah seperti kerajaan memperingatkan kerajaan tentang langkah menjatuhkan kerajaan oleh kerajaan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Aireroshairi berpandangan sekiranya langkah yang diagendakan itu benar-benar berlaku beliau sama sekali tidak menolak.

“Bagi saya, kalau ia berlaku alhamdulillah. Kalau ia tidak berlaku, kepada Allah kita berserah. Denyut nadi rakyat bersama dengan arus perubahan ini.

“Ada yang ‘pm’ saya, betul ke ada ADN Umno yang akan bersama PAS meneraju Pahang jika Malaysia tumbang. Jawapan saya, mestilah. Bukan sedikit yang jaki (tidak puas hati) dengan pentadbiran Malaysia hari ini.

“Tapi kalau ditanya siapa orangnya, jawapan saya ialah tunggulah. Sebab kita tak mencari,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -