FAM hulur sumbangan Tabung Palestin

Mohd Firdaus (dua dari kanan) dan Walid (dua dari kiri) di Kedutaan Palestin, Kuala Lumpur pada hari ini, 8 Jan 2024. (FOTO: Ihsan FAM)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Sumbangan berjumlah RM34, 284 itu adalah hasil dari kutipan penjualan tiket pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

- Advertisement -

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed bersama-sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman hadir di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur pagi tadi bagi menyampaikan cek sumbangan kepada dutanya, Walid Abu Ali.

Mohd Firdaus dalam pada itu berkata, FAM berharap dengan sumbangan berkenaan, ia dapat meringankan beban serta penderitaan rakyat Palestin. 

“Ini adalah sebahagian dari usaha kami di FAM yang komited untuk melihat keadaan di Palestin menjadi lebih baik di masa hadapan.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan harapan kepada rakyat Palestin,” katanya. 

Skuad Harimau Malaya sedang menjalani latihan di Qatar University, Doha, Qatar pada malam 7 Jan 2024. (FOTO: Ihsan FAM)

Sementara itu, Walid Abu Ali menzahirkan ucapan terima kasih kepada FAM dan rakyat Malaysia yang teguh menyuarakan soladiriti kepada Palestin.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang amat mengharukan. Terima kasih atas keprihatinan anda dan teruskan berdoa untuk mereka di Palestin,” katanya.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon yang kini berada di Qatar University, Doha, Qatar pada hari ketujuh, malam tadi (Ahad) sedang giat membuat persiapan terakhir menghadapi perlawanan pemanas badan Piala Asia 2023 menentang Syria, malam ini.  HARAKAHDAILY  8/1/2024

- Advertisement -