Jalinan kerjasama Warisan-Umno jejas pimpinan PMX

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika isu akuan bersumpah (SD) ahli parlimen hangat, tiba-tiba politik Sabah pula bergolak apabila Umno mempertimbangkan kerjasama dengan Warisan.

- Advertisement -

Sedangkan Umno di peringkat pusat menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut mendukung kerajaan Madani.

Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor terpaksa bergegas ke Sabah bagi menangani konflik yang berlaku.

Mengulas perkembangan itu Pengarah Pusat Kajian Strategi Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, perkembangan yang berlaku di Sabah menjelaskan masalah yang membelenggu Pakatan Harapan (PH) dan Umno sekarang.

Katanya cetusan pemuafakatan baharu antara Warisan dan Umno jelas memperlihatkan masalah yang membelenggu kepimpinan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenyataan yang dikeluarkan Umno Sabah dan Warisan sebagai isyarat awal Sabah akan berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Kenapa Warisan memilih mahu bekerjasama dengan Umno dan bukannya dengan PH. Signal dihantar Warisan secara tidak langsung sebagai mewakili rakyat yang tidak selesa di bawah perdana menteri sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Ahmad Zahid dilapor mengesahkan pergolakan politik berlaku di Sabah sehingga memaksa beliau bergegas ke negeri terbabit bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Sebelum itu Umno Sabah merancang menjalinkan kerjasama dengan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Umno Sabah dilapor menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Warisan bagi mengalahkan GRS pada PRN-17.

Sedangkan GRS merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Madani.

Pada PRN ke-16 September 2020 GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS memperoleh majoriti mudah apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi Dun negeri.

Dr Wan Nik juga berkata, biar pun Warisan merupakan bekas pemimpin Umno, namun politik meletakkan penilaian berasaskan kepada keadaan sekarang dan masa depan.

“Mungkin boleh diterjemahkan siapa pemimpin yang boleh memberi harapan baharu kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

- Advertisement -