Apa ada pada Sanusi sampai PH-BN serang peribadinya?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor walaupun cuba diburukkan namanya oleh Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), namun mereka tetap tidak dapat menafikan kemampuan beliau sebagai pemimpin.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, Sultan juga memuji pentadbiran diketuai Sanusi dan dia menjadi dirinya sendiri sebagaimana dinasihatkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Menjadi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, bercakap dalam bahasa rakyat dan bekerja untuk rakyat. Mungkin MB Kedah tidak pandai berpidato dengan perkataan bombastik yang mengindahkan penipuan seperti Perdana Menteri ke-10.

“Ucapan MB Kedah lebih ringkas dan jelas. Senang difahami dan boleh dipercayai. Ketika beliau kata PN (Perikatan Nasional) akan menang 33 kerusi DUN di Kedah, PN betul-betul menang 33 kerusi.

“Ketika beliau mengutarakan perancangan ‘The Greater Kedah’, beliau usahakan sepenuh hati. Sekarang apabila beliau kata kerajaan akan tumbang, habis semua pemimpin PH-BN panas punggung sehingga menyerang peribadi beliau.

“MB Kedah tenang sahaja melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan caranya,” ujarnya menyifatkan Sanusi sangat fokus untuk merealisasikan gagasan “Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti” serta menuju misi “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” menjelang tahun 2035. 

Nasrun turut menyenaraikan pencapaian-pencapaian besar di bawah kepimpinan Dato’ Seri Sanusi antaranya keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah bertambah 101 hektar dalam tempoh 3 tahun iaitu daripada 721,803 hektar pada 2020 menjadi 721,905 hektar pada 2022.

Juga sebanyak 7,233 geran tanah yang tertangguh lebih 30 tahun akhirnya diluluskan dan dapat dimiliki rakyat, selain RM91.4 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk dan membuka 19,568 peluang pekerjaan.

Tambah beliau, pentadbiran Sanusi bahkan turut menghapuskan premis judi, selain melunaskan RM121.9 juta hutang Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang ditinggalkan Kerajaan PH daripada RM148 juta kini berbaki RM6.7 juta sahaja.

“(Sanusi malah) Menggerakkan pembangunan projek-projek mega seperti Kedah Aerotropolis yang mempunyai nilai besar. (Dia) Biarkan sahaja puak PH-BN yang hanya banyak bercakap, tidak bekerja.

“Tahniah rakyat Kedah kerana telah memilih pemimpin yang tepat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -