Agenda J-KOM cetus keresahan rakyat

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Madani dianggap terus berdongeng dengan memutarkan isu Langkah Dubai yang dijuarai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

- Advertisement -

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata, agenda itu bagi menutup kenyataan pemimpin DAP yang memberi kesan buruk kepada kerajaan sekarang.

Katanya kontroversi yang dicetuskan pemimpin DAP Ngeh Khoo Ham sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kemarahan orang Melayu di negara ini.

“Tahun baru bermula dengan kisah sandiwara, retorik, ketakutan yang dibuat-buat dan ciptaan kisah-kisah dongeng,” katanya di sini.

Media sebelum ini melaporkan Langkah Dubai didakwa didalangi pemimpin pembangkang termasuk wakil kerajaan, dengan matlamat mahu menjatuhkan kerajaan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM Datuk Ismail Yusop dilapor mendakwa Langkah Dubai timbul ekoran percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan wakil rakyat kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Razali yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, pembangkang bekerja bersama rakyat untuk memulihkan kelangsungan kehidupan mereka.

“Rakyat tidak ada masa untuk memikirkan sebarang langkah bermotif politik. Rakyat di negeri SG4 terus mara. Saya percaya rakyat di negeri lain pun sama,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga agenda Langkah Dubai cuba digambarkan seolah-olah dicetus PN.

“Jangan alihkan isu, taktik basi. Apakah J-KOM yang kini di bawah Kementerian Komunikasi sudah berperanan sebagai jabatan propaganda dan menghasut.

“Saya tanya sahaja kerana jika benar, ini sudah terkait dengan isu 3R. Sebuah agensi kerajaan J-KOM yang mencetuskan keresahan rakyat dan menimbulkan ketakutan kepada pelabur.

“Kalau beginilah caranya kerajaan Madani, nampak gaya cepatlah proses kerajaan yang baharu muncul,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2024

- Advertisement -