KANGAR: Seluruh peniaga di Perlis diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan khususnya makanan menjelang Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup negeri, Razali Saad berkata, para peniaga disaran meletakkan tanda harga bagi mengelakkan kekeliruan di samping menetapkan kadar yang munasabah.
“Ini adalah sebagai peringatan kepada pihak terlibat agar tidak mengambil kesempatan sesuka hati dengan menaikkan harga barangan mereka bersempena TMPs ini.
“Selain itu, aspek kebersihan premis juga perlu diberi perhatian bagi menggelak rungutan di kalangan pelancong,” katanya selepas ditemui pada Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) di Terminal Kuala Perlis di sini, semalam.
Ujarnya, peniaga Harumanis juga diingatkan agar tidak melakukan tindakan sama menjelang musim buah tersebut sekitar Mei depan.
“Selain peniaga makanan dan barangan, pengusaha mempelam Harumanis diingatkan tidak menaikkan harga buah menjelang musimnya pada Mei depan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Razali berkata, agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain-lain akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sepanjang TMPs ini. – HARAKAHDAILY 2/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!