Tahun Melawat Perlis jadi pemangkin industri pelancongan

- Advertisement -

KANGAR: Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs) dijangka menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di negeri itu khususnya merealisasikan sasaran 3.5 juta ketibaan pelancong pada tahun 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, justeru semua pemain industri pelancongan tempatan dan rakyat Perlis umumnya diajak bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk menjayakannya.

“Saya berharap pengunjung yang hadir ke Perlis nanti akan menjadikan pelancongan di sini  pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya pada kenyataan media sempena Program Sambutan Pelancong TMPs, semalam.

Dalam pada itu Shukri menjangkakan TMPs 2024-2025 mampu menggamit 3.5 juta pelancong sepanjang kempen berkenaan.

Menggunakan slogan rasmi ‘Perlis Damai dan Menawan’ dengan tagline ‘Jom Pakat Pi Perlis’ dan ‘Perlis The Undeniable Charm’, beberapa lokasi menarik di negeri itu akan menjadi tumpuan pelancong.

Antaranya kata beliau, termasuklah View Point Wang Kelian, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Gua Kelam 1, ICQS Padang Besar (arah masuk), ICQS Wang Kelian (arah masuk), Stesen KTMB Padang Besar, Jeti Kuala Perlis dan Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh.

“Oleh itu saya mewakili Kerajaan Negeri Perlis menjemput serta mengalu-alukan kehadiran semua pelancong untuk berkunjung ke sini,” tambahnya lagi.

Kempen TMPs sebelum ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 7 Disember lalu. – HARAKAHDAILY 2/1/2024

- Advertisement -